UUM dan Yongin University, Korea Meterai MoU

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

Mou golf 1

PUTRAJAYA - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam usaha meletakkan sukan golf UUM ke peringkat yang lebih tinggi apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Yongin, Korea.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung sempena Pelancaran Minggu Pendidikan Tinggi atau Higher Education Week Malaysia (HEWM) 2015 di perkarangan Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail mewakili Naib Canselor UUM dan Ketua Jabatan Golf, Prof. Dr Paek  Byung Joo mewakili Presiden Universiti Yongin telah menandatangani MoU tersebut dengan disaksikan oleh YB Dato’ Seri Idris Bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Prof. Dr. Paek juga telah berkesempatan untuk bertukar-tukar pandangan dengan pihak Akademi Golf Nasional  UUM dalam satu pertemuan yang turut disertai oleh En. Hazally Jali, Setiausaha Bahagian Sukan KPT yang diadakan selepas berlangsungnya majlis menandatangani MoU tersebut.

Menurut Hazally, Akademi Golf Nasional UUM perlu terus proaktif mengadakan kolaborasi dengan pelbagai rakan strategik agar keberhasilan maksimum diperoleh melalui pelaksanakan pelbagai program bersama Universiti Yongin bagi memenuhi kepentingan kedua-dua belah pihak.

"Saya berharap pertemuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya kerjasama mobiliti yang melibatkan pertukaran pelajar dan staf akademik serta latihan golf secara kerjasama antara kedua-dua pihak," katanya.

"Jalinan kerjasama dan pengenalan kepada program pengajian tersebut merupakan aspek penting untuk membangunkan modal insan sevara holistik yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik malah turut berjaya dalam acara sukan ," ujar beliau.

Sementara itu, Prof. Dr. Paek merakamkan penghargaan kepada UUM atas kepercayaan yang diberikan kepada Universiti Yongin sebagai rakan strategik khususnya bagi melaksanakan program latihan dan akademik dalam sukan golf.

Katanya, dengan kerjasama ini diharap akan ada kesinambungan untuk program-program jangka masa panjang dan program-program yang disusun dengan UUM berjalan dengan sempurna, seterusnya mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Akademi Golf Nasional UUM, Prof. Madya Dr. Azman Yasin.

Tags: terkini