RISDA Juara Keseluruhan Kejohanan Sukan MAKSPEN XIII Kedah 2015

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

rISDA JUARA KESELURUHAN

SINTOK - Tirai Kejohanan Sukan MAKSPEN XIII Kedah 2015 yang berlabuh malam tadi menyaksikan kontinjen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengumpul 10 pingat emas daripada 26 pingat emas yang ditawarkan sekaligus menobatkan kontinjen RISDA sebagai juara keseluruhan kejohanan.

Kontinjen RISDA unggul di tempat pertama diikuti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di tempat kedua dengan memungut lima emas manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) di tempat ketiga dengan empat emas.

Majlis penutup MAKSPEN ke-13 Kedah 2015 telah disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata pertandingan sukan bukan hanya untuk mencari kemenangan semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah untuk merapatkan ukhwah sesama staf di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Selain itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kejohanan ini terutamanya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang menjadi tuan rumah serta UUM yang merupakan venue utama kejohanan berkenaan yang berlangsung selama empat hari mulai 12 Ogos lalu.

Turut berlangsung majlis penyerahan bendera kejohanan kepada tuan rumah bersama MAKSPEN 2017 iaitu KKLW dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Bendera kejohanan diserahkan oleh Pengurus Besar KEDA, Dato’ Haji Mohd Arpan Shari kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Rahim Abu Bakar dan Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Hassan Mohd Amin.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Dato' Hj. Ahmad Zaini Japar; Penolong Naib Canselor College of Law, Government and International Studies (COLGIS), Prof Madya Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani mewakili Naib Canselor UUM dan pegawai-pegawai agensi di bawah KKLW.

Tags: terkini