Futsal UUM Raih Emas SUKUM 2015

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

FUTSAL final

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya melakar sejarah dalam Pertandingan Futsal Lelaki Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2015 setelah berjaya mengekalkan kejuaraan untuk 3 tahun berturut-turut dari 2013 hingga 2015.

Dalam perlawanan akhir petang Khamis di Kompleks Sukan Negara, Kementerian Belia & Sukan Malaysia, Shah Alam, pasukan Futsal UUM berjaya menundukkan lawannya dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan jaringan 5-3.

Perlawanan ini ternyata sengit sejak wisel dibunyikan. KPT memulakan debaran dalam pertandingan setelah berjaya mendahului UUM 1-0. Namun begitu UUM tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sekali lagi KPT mendahului setelah berjaya menjaringkan gol kedua namun tidak lama selepas itu UUM berjaya menyamakan kedudukan 2-2. Kedudukan ini kekal setelah tamat separuh masa pertama.

Sebaik sahaja babak kedua bersambung, UUM tidak mengambil masa yang lama untuk mula mendahului perlawanan dengan jaringan ketiga mendahului pasukan lawan 3-2.

Perlawanan yang seimbang dan rancak disajikan oleh pemain kedua-dua pasukan dengan serangan-serangan yang menarik.

Sekali lagi UUM berjaya menjaringkan gol bagi menjarakkan kedudukan kepada 4-2.

Ternyata jaringan itu tidak melunturkan semangat juang pemain KPT yang mula mengatur strategi serangan, berjaya merapatkan kedudukannya kepada 4-3.

Namun begitu pasukan UUM ternyata cemerlang dan bersemangat apabila dapat menjaringkan gol yang kelima bagi kedudukan 5-3.

KPT cuba bangkit namun ketangkasan penjaga gol UUM berjaya mematahkan serangan-serangan dari KPT.

Akhirnya UUM mampu menarik nafas lega setelah pengadil meniupkan wisel penamat, UUM berjaya meraih emas menjadi Johan pertandingan dengan keputusan UUM 5-3 KPT.

Pengurus pasukan UUM, Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab ketika ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana memberi kegembiraan kepada pasukan Futsal UUM, penyokong dan warga UUM seluruhnya.

"Kejayaan menjuarai kejohanan ini selama 3 tahun berturut-turut amat bermakna kepada semua pemain dan pegawai. Nyata disiplin yang tinggi semasa latihan dan keinginan untuk berjaya dan mengharumkan nama UUM telah membuahkan hasil.

Terima kasih buat barisan jurulatih yang diketuai Mohd Shahrin Ismail dan pegawai-pegawai dari Pusat Sukan UUM termasuk bekas jurulatih Futsal Kebangsaan Malaysia, Maizal Hairi atas komitmen mereka kepada pasukan ini.

Tags: terkini