UUM Menduduki Tempat Ketiga Keseluruhan Sukan IMT-GT Ke-17

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

IMTGT 2

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) menamatkan cabarannya dalam Karnival Varsiti IMT-GT Ke-17 dengan memungut dua emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus meletakkan UUM di tangga ketiga selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat pertama dan Universitas Negeri Medan (UNIMED) Indonesia di tempat kedua bagi acara sukan keseluruhan yang berlangsung selama lima hari mulai 19 Ogos lalu di UUM.

Dua pesilat UUM, Muhammad Fahil Syarifi dan Natasha Adilah Mohamed masing-masing menghadiahkan pingat emas bagi acara Pencak Silat kategori Tunggal Putera dan Tunggal Puteri.

Muhammad Fahil berjaya menundukkan Itqom Fahmi Syair dari Universitas Muhamdyah Sumatera Utara (UMSU) Indonesia dengan pungutan 440 mata, manakala Natasha Adilah memperoleh 445 mata mengatasi pesilat juga dari UMSU, Ayu Lestari yang berkedudukan tempat kedua dengan 431 mata.

Pingat gangsa bagi kategori Tunggal Putera dimenangi pesilat Fahrurozi dari UNIMED Indonesia dan Tunggal Puteri dimenangi Siti Hawa Abdul Wahid dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, pasukan Pencak Silat UUM turut mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul pingat perak bagi kategori Ganda Putera yang diwakili Nik Mohamad Amirul Fikrie Zulkifli dan Nik Muhammad Alimi Nik Mohd Azahari, manakala kategori Ganda Puteri diwakili Natasha Adilah Mohamed dan Siti Norzaleha Abdullah.

Tidak ketinggalan menyumbang pingat kepada UUM ialah pasukan bola keranjang lelaki dengan kemenangan merangkul pingat gangsa, sementara UMSU merangkul pingat emas dan pingat perak dimenangi USM.

Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan pada Karnival Varsiti IMT-GT kali ini iaitu badminton (lelaki dan wanita), bola sepak, tenis (lelaki dan wanita), bola tampar (wanita), bola keranjang dan pencak silat (lelaki dan wanita).

Kontinjen dari Malaysia diwakili UUM, USM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain empat universiti dari Thailand dan empat dari Indonesia.

Tags: terkini