1500 Kakitangan JKM Jayakan Program Pemantapan Kerja Berpasukan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh Unit Komunikasi Korporat UUM

JKM

SINTOK - Dalam mendepani persekitaran budaya kerja yang serba mencabar dan ekspektasi pelanggan yang tinggi, seramai 1500 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara mengikuti Program Pemantapan Kerja Berpasukan yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Negeri Kedah selama empat hari mulai 26 Ogos di universiti ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Zulkiply Ramli di Stadium UUM, petang semalam.

Dalam ucapan beliau berkata, program itu telah dirancang khusus sebagai satu kaedah bagi memantapkan lagi prestasi kakitangan JKM.

Menurutnya, JKM telah merangka beberapa aktiviti yang memberi penekanan kepada aspek kebertanggungjawaban, semangat juang yang tinggi disamping pengukuhan budaya kerja berpasukan serta cintakan jabatan.

"Aktiviti-aktiviti yang dirangka ini adalah bertepatan dengan tujuan dan matlamat program ini iaitu sebagai wadah untuk memantapkan semangat bekerja, kerja pasukan dan berkebajikan.

"Kita telah merangkumkan beberapa aktiviti yang terdiri daripada sesi ceramah, latihan dan aktiviti di padang bagi menggarapkan pemantapan jati diri dari segi fizikal, mental, emosi dan ‘spiritual’ serta rohani di dalam diri warga JKM," katanya.

Beliau berkata, dengan berpaksikan konsep Strategi Lautan Biru atau National Blue Ocean Strategy (NBOS), seluruh warga kerja JKM akan bertindak secara ‘seamless’ dan bergerak sebagai satu pasukan.

Tambahnya lagi, prinsip memberi perkhidmatan berasaskan perkongsian dan kerjasama juga perlu dipegang kuat oleh setiap pekerja dalam JKM, sekali gus menunjukkan bahawa di mana semua staf JKM bekerja secara bersendirian atau ‘silo’ sudah berlalu.

"Dalam mencari kaedah baru bagi menghadapi cabaran dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus, amanah dan berkesan, saya berharap agar semua peserta dapat memberi tumpuan agar masa yang digunakan dan kos yang diperuntukkan tidak disia-sia kan.

"Harapan saya semoga program kita di UUM selama empat hari ini bakal menjadi satu program yang dapat mencapai objektif dengan jayanya," ujarnya.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Md Noor Chik berkata, program seumpama itu dilihat begitu relevan sebagai usaha mengukuhkan JKM untuk terbang tinggi. 

Katanya, semua peserta yang terlibat dalam program itu sudah pasti datang dengan penuh persediaan dan semangat yang tinggi dan bakal menjadi modal ikutan kepada kakitangan lain untuk mengatur langkah dan menyusun kerja berpasukan supaya lebih mantap. 

"Saya berharap amalan yang baik ini akan berterusan menjadi budaya yang baik dalam kalangan peserta dan jabatan serta masing-masing dapat memanfaatkan peluang yang ada ini dengan sebaiknya," ujarnya.

Sepanjang program itu, peserta akan mengikuti sesi ceramah, pertandingan sukan seperti ping-pong, bola sepak, badminton, futsal, bola jaring dan bola tampar serta acara walkathon.

Tags: terkini