Regu UUM Juara, Tempat Keempat Kejohanan Sepaktakraw LISUS Daerah Kubang Pasu

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

takraw

SINTOK - Regu Universiti Utara Malaysia (UUM) A muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Liga Sukan Untuk Semua (LISUS) bagi daerah Kubang Pasu apabila berjaya menewaskan regu Kolej Komuniti dalam kejohanan yang berlangsung pada 5 September lalu di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)Jitra.

Regu UUM A yang diwakili oleh Asyraf Ibrahim, Misbahuddin Ismail dan Shahrul Fitri Omar menewaskan Kolej Komuniti secara ‘straight set’ dalam kategori terbuka sekali gus membawa pulang hadiah sebanyak RM800.

Kejohanan yang dianjurkan setiap tahun oleh Pejabat Belia dan Sukan ini mendapat penyertaan seramai 20 regu yang dikategorikan kepada regu terbuka dan junior.

Manakala regu senior D yang diwakili oleh Mohd Hanif Samsudin, Mohd Faizal Hanapi dan Hakimi Daud menduduki tempat keempat apabila tewas di peringkat separuh akhir dan membawa pulang hadiah sebanyak RM300.

Selain itu, UUM turut menghantar dua regu junior yang terdiri dari kalangan anak-anak staf bagi tujuan pendedahan, walau bagaimanapun regu junior sekadar melepasi pusingan kedua apabila tewas dalam pusingan kalah singkir.

Menurut Asyraf Ibrahim selaku pengurus pasukan UUM ke kejohanan ini, beliau tidak menjangkakan kejayaan ini kerana regu-regu yang menyertai pertandingan ini terdiri dari kalangan pemain handalan termasuk bekas-bekas pemain yang pernah mewakili negeri dan negara.

Beliau amat bersyukur dan yakin bahawa dengan berbekalkan semangat kesukanan, disiplin berpasukan serta kemahiran yang tinggi dalam kalangan pemain telah membantu UUM menewaskan nama-nama hebat dalam dunia Sepaktakraw tanahair seperti Fazlan, Zul Sumari, Saravanan dan Sham Ghani bagi merangkul kejayaan ini.

"Berkat semangat cintakan UUM dan minat dalam sukan Sepaktakraw, para pemain memulakan inisiatif sendiri bagi menjalani latihan, penyediaan kelengkapan dan kewangan untuk menyertai kejohanan tersebut dan akhirnya berjaya membawa nama UUM di persada kejohanan ini," ujarnya.

Tags: terkini