2 Emas, 4 Perak & 1 Gangsa Di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM Edisi-6, 2015

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

silat

KUANTAN - Pesilat-pesilat Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih dua pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa dalam acara-acara yang telah dipertandingkan baru-baru ini bertempat di Berjaya Megamall Kuantan, Pahang dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-6, 2015.

Emas pertama UUM ini telah disumbangkan menerusi Natasha Adilah Binti Mohamed dalam acara silat seni jurus tunggal putri setelah beliau mengutip markah tertinggi daripada 12 Universiti yang mengambil bahagian dalam acara ini iaitu sebanyak 452 mata mendahului pesilat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat kedua dengan 441 mata.

Kecemerlangan UUM diteruskan dengan emas kedua menerusi silat seni ganda putri gandingan Nur Syahirah Hashim dan Siti Norzaleha Abdullah dengan markah tertinggi 553 mata manakala pingat perak dimenangi oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dengan 533 mata.

Aksi Natasha Adilah dan gandingan Nur Syahirah serta Siti Norzaleha yang penuh berkeyakinan dengan ketangkasan persilatan mereka nyata telah memukau perhatian juri dan penonton serta mendapat tepukan gemuruh ketika melakukan persembahan.

Sementara itu, empat pingat perak telah disumbangkan menerusi Syaiful Amri Lukhman dalam silat olahraga kelas B putra, Fatimah Jamil dalam silat olahraga kelas C putri, Asraff Azhar dalam silat olahraga kelas F putra dan pingat perak terakhir menerusi silat seni regu putri gandingan Nur Aisyah Razani, Nur Alyaa Aqilah Mat Lazin dan Fatin Nadiah Hamidun.

Seterusnya pingat gangsa telah disumbangkan menerusi pesilat Siti Nor Ain Mohamad Abu Bakri dari kelas D putri.

Kejohanan tahunan ini adalah anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian Sukan dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia yang telah menyaksikan 800 pesilat daripada Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan Antarabangsa termasuk Politeknik dan Kolej-Kolej Komuniti yang mengambil bahagian.

Di antara Universiti luar Negara yang turut serta mengambil bahagian dalam kategori IPT luar Negara iaitu India, Indonesia, Singapore, Somalia, Thailand, Vietnam dan juga China.

Pengarah Pusat Sukan Prof. Dr. Mohd Sofian Omar Fauzee berkata, “ Tahniah diucapkan kepada pesilat-pesilat UUM atas sumbangan dua pingat emas, empat perak dan satu gangsa buat UUM pada kejohanan kali ini ”.

Keputusan kali ini amat membanggakan kerana pada edisi yang lalu UUM berjaya membawa pulang dua emas dan tiga gangsa, katanya lagi.

Semoga pada kejohanan-kejohanan yang akan datang pesilat-pesilat UUM akan terus cemerlang dalam menyumbang pingat  emas buat UUM, tambahnya lagi.

Tags: terkini