Naib Canselor Meriahkan Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Ke-43

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

Naib Canselor Meriahkan Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Ke-43

 JITRA - Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Ke-43 yang berlangsung mulai hari ini dan esok turut disertai Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang mengambil bahagian dalam kategori VIP.

Selain Naib Canselor, turut mengambil bahagian dalam kategori ini ialah Pendaftar, Mohamad Akhir Haji Yusuf dan Prof. Ir. Dr. Che Sobry Abdullah. Seramai 16 pemain golf mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam tiga daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Gross, Nett dan VIP.

 

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi penganjur untuk kejohanan kali ini yang melibatkan 21 buah universiti awam. Peserta yang mengambil bahagian terdiri dari kalangan kakitangan universiti awam yang diwakili masing-masing.

 

Kejohanan dilangsungkan di tiga lokasi di Kedah iaitu Cinta Sayang Golf & Country Resort, Sungai Petani dan Harvard Golf & Country Club di Bedong manakala pertandingan bagi kategori VIP berlangsung di Darulaman Golf And Country Club, Jitra.

 

Kelayakan peserta bagi pemain VIP adalah terdiri daripada Canselor, Pro Canselor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor/Rektor, Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor, Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan Universiti Awam. Pemain VIP daripada Kementerian Pengajian Tinggi adalah terdiri daripada pegawai bertaraf Jusa C dan ke atas.

Tags: terkini