Hari Sukan Negara Penghubung Gaya Hidup Sihat Dan Aktif Bersukan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

Hari Sukan Negara Penghubung Gaya Hidup Sihat Dan Aktif Bersukan

SINTOK - Sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan secara serentak seluruh negara, negeri Kedah tidak ketinggalan menyambut Hari Sukan Negara peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di padang kawad Universiti Utara Malaysia, pagi ini.

Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim.

 

Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). 

 

Yang Amat Berhormat pada sidang media berkata, beliau melihat kehadiran ramai peserta pada sambutan Hari Sukan Negara itu membuktikan Kedah juga ingin terlibat bersama dengan usaha yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

 

"Kedah juga telah mencatatkan rekod negeri yang mempunyai ramai penghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol yang tertinggi dan nombor satu dalam negara. Hal ini adalah satu perkara yang tidak membanggakan.

 

"Sehubungan itu, saya melihat Hari Sukan Negara ini adalah satu inisiatif dan penghubung sifat suka gaya hidup sihat dan aktif dengan bersukan," katanya di sini.

 

Beliau juga menyarankan supaya aktiviti seperti itu dapat dijalankan setiap hari, bukan hanya menunggu setahun sekali untuk dilaksanakan dan sekurang-kurangnya ia dapat diadakan sekali dalam seminggu.

 

Ujarnya, kini terdapat banyak aktiviti riadah yang boleh dilakukan untuk membantu menjaga kesihatan, selain ia dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi pelbagai aktiviti tersebut.

 

Sambutan Hari Sukan Negara yang dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk pelajar UUM itu diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti senamrobik perdana, Fun Walk (berjalan kaki 10,000 langkah), Fun Ride bersama Menteri Besar Kedah, aerobikton, cabutan bertuah, pendaftaran Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran.

 

Hari Sukan Negara telah diisytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak Mac lalu.

Tags: terkini