SUKIPT Medan Anak Sabah Tonjol Bakat Sukan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

SUKIPT

SINTOK - Karnival Sukan Siswa Siswi Sabah Antara IPT (SUKIPT) yang menyaksikan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) muncul juara keseluruhan sebagai satu medan menonjolkan bakat sukan dan mengeratkan hubungan antara anak-anak kelahiran Sabah dari 17 universiti seluruh negara.

SUKIPT yang berlangsung selama tiga hari mulai 7 November lalu melibatkan penyertaan 17 universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pemenang dan peserta SUKIPT telah diraikan dalam Majlis Olympia Award yang dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Mary Yap Kain Ching selaku Ahli Parlimen Tawau pada Majlis Perasmin Penutupan SUKIPT 2015 di Dewan Mu'adzam Shah.

Dalam ucapan beliau berkata, SUKIPT bukan sahaja menjadi medan kepada pelajar untuk pamerkan bakat dalam tarian dan nyanyian, selain bersukan malah peserta telah menggunakan konsep dan teori berkaitan pengurusan menerusi penganjuran karnival tersebut.

Katanya, dengan ilmu yang diperolehi itu diharap semua pelajar dapat mengaplikasikan latihan dalam kepimpinan pengurusan tersebut di universiti masing-masing.

"Selain itu, saya juga berterima kasih kepada UUM sebagai tuan rumah SUKIPT 2015 kerana menyediakan kemudahan yang baik dan indah. Saya dapat melihatnya sendiri menerusi 'campus tour' petang tadi.

"Justeru, saya nasihatkan kepada semua pelajar khasnya anak-anak Sabah supaya bersyukur dapat belajar di UUM dan begitu juga pelajar dari universiti lain kerana berpeluang untuk belajar di universiti berbanding orang lain yang tidak dapat berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, peluang yang diberikan itu harus digunakan sebaiknya untuk memajukan diri.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, anak-anak Sabah merupakan antara yang paling aktif dalam penganjuran aktiviti walaupun mereka terdiri berbilang etnik dan kaum.

Menurutnya, SUKIPT itu bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi mencungkil bakat-bakat ahli sukan dari anak Sabah.

"Selain SUKIPT, anak-anak Sabah ini juga boleh menganjurkan pelbagai aktiviti dan program lain seperti seminar atau bengkel supaya ia menjadi satu karnival lebih bermakna dan memberi manfaat kepada anak-anak Sabah khususnya.

"Bagaimanapun, aktiviti sukan seperti ini juga bagus kerana ia menonjolkan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan," ujar beliau.

Pengarah Projek SUKIPT 2015, Mohd Azwan Siri berkata, karnival tersebut dicetuskan pada 2012 bertujuan menggalakkan siswa siswi untuk bergiat aktif dalam bidang sukan dan pada masa sama mengharumkan nama universiti masing-masing.

Keseluruhan, UPSI menggungguli dengan pungutan dua emas, diikuti tempat kedua UKM dan tempat ketiga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sebanyak tiga acara dipertandingkan iaitu futsal kategori lelaki, bola jaring dan bola tampar kategori lelaki dan wanita.

Terdahulu, Dato' Mary Yap Kain Ching mengikuti sesi taklimat tentang UUM yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Hassan Ali di Bilik Senat, selain turut dibawa melawat sekitar kampus menaiki tram.

Tags: terkini