71 Atlet Jalani Latihan Pusat Sempena Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) III, 2016

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh : Pusat Sukan

SUKIPT 2016

SINTOK - Seramai 71 atlet Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam program latihan pusat bermula 18 Januari yang lalu sehingga 29 Januari ini bagi persiapan menghadapi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) III,  2016 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 25 Januari hingga 5 Februari ini.

 

UUM menghantar lima acara sukan daripada 25 acara yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu pencak silat (L/W), petanque (L/W), squash (L/W), karate-do (L/W) dan juga ping-pong (L/W).

Sepanjang sesi latihan diadakan, semua atlet ditempatkan di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) MISC dan dibekalkan makanan yang berkhasiat sepanjang program berlangsung.

 

“ Kesemua atlet menjalani latihan akhir selama dua minggu bagi memberi penekanan terhadap aspek motivasi dan ketahanan mental sebagai persediaan untuk ke kejohanan ini ”, kata Pengarah Pusat Sukan, Prof. Dr. Mohd Sofian Bin Omar Fauzee.

 

Di antara aktiviti yang berlangsung sepanjang sesi latihan iaitu ujian kecergasan setiap atlet, ceramah motivasi, program War Cry dan juga perlawanan persahabatan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SUKMA Perlis, MAKSAK Kedah dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 

Kejohanan ini terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa 1 bermula 25 Januari hingga 2 Februari manakala Fasa 2 pula akan berlangsung pada 29 Januari hingga 5 Februari, katanya lagi.

Penganjuran anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis-Majlis Sukan IPT (MASUM, MSP, MASKOM dan MASISWA) ini diadakan secara dwitahunan dan diselang-selikan dengan penganjuran Karnival Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA).

 

Bagi penganjuran edisi ketiga, 25 acara sukan akan dipertandingkan yang membabitkan lebih 8,000 atlet daripada 117 kontinjen.

 

Ianya juga akan melibatkan jemputan antarabangsa yang melibatkan negara-negara dalam Asia Tenggara serta turut mempertandingkan beberapa acara sukan untuk atlet orang kurang upaya (OKU).

Semoga kejohanan pada kali ini atlet UUM dapat memberi komitmen sepenuhnya dan bertanding dengan penuh semangat kesukanan bagi mengharumkan nama universiti.

Tags: terkini