Kayuhan Amal MTB UUM Merentasi Negara Thailand Hulur Sumbangan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh: Mohd Fadzli Suhaimi

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

 

bike

SINTOK - Seramai 16 orang kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) sanggup mengorbankan cuti hujung minggu mereka bagi menyahut cabaran merentasi dua negara Malaysia-Thailand  dengan berbasikal sejauh 150 kilometer untuk mengenali dan mendekati masyarakat Islam di negara jiran itu, baru-baru ini.

 

Ketua ekspedisi, Amirudin Hashim berkata, setiap peserta yang terlibat dalam ekspedisi pada kali ini memberi kerjasama yang sebaiknya dalam menjayakan ekspedisi ini dan lokasi tersebut dipilih kerana ingin memberikan cabaran yang berlainan kepada para peserta dan juga pengalaman baru yang tidak terdapat di Malaysia.

 

“Perjalanan yang sejauh itu dapat menjanjikan satu pengalaman yang amat menarik dan sukar dilupakan oleh semua peserta yang mana kami bukan sahaja dapat menikmati pemandangan pantai dan pulau yang indah, malah dapat menyelami dan melalui kehidupan masyarakat di sana yang rata-ratanya adalah nelayan dan petani.

 

“Ini ditambah lagi dengan masyarakat di sana kebanyakkannya adalah dari rumpun Melayu dan beragama Islam,” katanya.

 

Wakil Kelab MTB UUM, Mohd Badrillah Shaari berkata, kayuhan ke Tanyong Po @ Tanjung Pauh, Satun pada kali ini lebih manis kerana Kelab MTB UUM bukan sahaja melakukan ekspedisi berbasikal secara ‘bicycle touring’, malah turut memberi sumbangan kepada masyarakat tempatan yang beragama Islam.

 

Menurutnya, lebih menarik lagi, masyarakat di sana boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan ini memudahkan mereka berinteraksi dan beramah-mesra antara satu sama lain.

 

Sementara itu, peserta kayuhan, Mohd Syukri Yaacob berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai ekspedisi berbasikal seperti ini, secara tidak langsung menambahkan lagi pengalamannya.

 

“Mujur ada rakan-rakan dan juga pengiring bermotosikal yang banyak membantu saya sepanjang ekspedisi ini berlangsung. Dengan cuaca yang panas dan angin yang agak kuat membuatkan saya hampir berputus-asa, namun rakan-rakan banyak memberi semangat dan tunjuk ajar kepada saya sehingga saya berjaya menamatkan kayuhan dengan selamat,” katanya.

 

Sumbangan yang diperolehi melalui kutipan antara ahli Kelab MTB UUM dan juga orang perseorangan telah disampaikan oleh Kassim Ibrahim sambil disaksikan peserta kayuhan dan penduduk kampung.

Tags: terkini