Nurul Syahirah Juarai Kejohanan 28th Sabah Golf And Country Club (SGCC) Amateur Open

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh: Unit Media UUMNGA

Nurul Syahirah Juarai Kejohanan 28th Sabah Golf And Country Club SGCC Amateur Open

SABAH - Kejohanan Golf 28th Sabah Golf and Country Club (SGCC) Amateur Open 2016 yang berakhir hari ini telah mengangkat nama atlet UUMNGA, Nurul Syahirah Afiqah Saparudin dan Albright Chong Ming Soon apabila berjaya mengungguli kedudukan johan bagi kategori individu wanita gross dan naib johan bagi kategori Individu Lelaki gross.

Nurul berjaya mengatasi pesaing terdekatnya dengan berkelebihan 5 pukulan bagi merebut kejuaraan 28th Sabah Golf and Country Club (SGCC) Amateur Open 2016.

 

Dalam kejohanan itu juga Nurul menunjukkan peningkatan prestasi apabila mencatat 78, 81, 79 dengan mengumpulkan 238 jumlah pukulan keseluruhan.

 

Sementara itu, Albright Chong Ming Soon yang memberi tentangan sengit sehingga hari terakhir kejohanan hanya mampu berpuas hati di kedudukan ke-2 apabila mencatat 80, 76, 74 dengan jumlah pukulan 230 keseluruhan hanya ketinggalan 2 pukulan untuk muncul juara.

 

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan kejayaan ini dan apa yang paling penting berjaya menaikkan nama Akademi Golf Nasional dan UUM. Mencapai kedudukan ini adalah sesuatu yang amat membanggakan.”

 

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi titik tolak kepada kecemerlangan saya dalam bidang sukan golf dan saya akan berusaha lebih gigih dan keras untuk mencapai pelbagai kejayaan di masa hadapan,” ulas Nurul mengenai kejayaannya.

 

Manakala Pengarah UUMNGA, Prof Madya Dr. Azman Yasin pula berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain itu.

 

“Namun begitu, masih ada beberapa kelemahan yang perlu di atasi dan diperbaiki oleh mereka antaranya dari segi ‘fitness’ dan kekuatan mental yang mana dapat dilihat mereka sering kali hilang fokus ketika pertandingan,” katanya

 

Pihak pengurusan tertinggi UUMNGA turut berbangga dengan pencapaian semua atlet dan mendoakan mereka terus berusaha dan mencapai kejayaan pada kejohanan-kejohanan yang akan datang.

 

Tags: terkini