DISCOVER UUM 2016: Redah Hutan Dalam Hujan Tingkat Semangat Berpasukan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

DISCOVER UUM

SINTOK - Berjalan beramai-ramai sambil menghirup udara segar menikmati kicauan burung dalam misi Jungle Tracking Meneroka Rahsia Alam sangat mengujakan 143 pelajar Program Asasi Pengurusan, di Hutan Sintok Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Ekspedisi, Adzrul Nizam Abdul Halim berkata, usaha ini bagi merealisasikan program  Jungle Tracking Meneroka Rahsia Alam yang bertujuan memupuk budaya cinta alam sekitar di samping menyihatkan badan merehatkan minda.

 

“Program ini memberi peluang kepada pelajar berinteraksi antara satu sama lain secara santai sekali gus mengeratkan silaturahim supaya saling mengenali    rakan-rakan pelbagai kaum dari seluruh Malaysia,” ulasnya.

 

Pelajar dibahagikan kepada 15 kumpulan dalam aktiviti berbentuk pertandingan   bagi menilai semangat setia kawan dan kerja berpasukan dengan memikirkan persembahan yang dapat menonjolkan idea dan kreativiti kumpulan masing-masing.

 

Mereka diberi tugasan membuat satu monumen mengikut kreativiti sebagai tanda melahirkan rasa cinta pada negara, gambar diambil seterusnya diupload dalam instagram, yang mendapat like tertinggi dikira sebagai pemenang.

 

“Sebelum memulakan ekspedisi, pelajar terlebih dahulu melakukan senaman regangan warm up bagi mengelakkan tegang otot di samping meningkatkan ketahanan  fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran.

 

“Banyak ilmu yang ditimba apabila jurupandu memperkenalkan ratusan pokok di rimba UUM dengan nama saintifik serta serba sedikit penerangan mengenai khasiat pokok berkenaan yang  bagus untuk kesihatan,” katanya dalam program  anjuran Pusat Asasi Pengurusan dan Jabatan Keselamatan.

 

Menurut Nurul Addinie Abd. Razak, pelbagai cabaran ditempuh sepanjang ekspedisi namun dengan semangat berpasukan dan komitmen padu semua halangan dapat diatasi.

 

Ulasnya, penerokaan menempuh trek, denai, batu, tanah lembut, cerun, selama 5 jam semakin mencemaskan apabila hujan turun dengan tiba-tiba menyebabkan jalan menjadi becak memerlukan peserta lebih berhati-hati meneruskan ekspedisi.

 

“Ketika kami sampai hujan turun dengan lebat menyebabkan jalan menjadi licin di beberapa kawasan, jambatan roboh menyukarkan laluan apabila terpaksa turun ke bawah menggunakan laluan lain namun tidak menjejaskan aktiviti yang dirancang.

 

“Sedang asyik menikmati kehijauan alam tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan, rupanya-rupanya pelajar menjerit melihat pacat yang melata, mereka bukan takut cuma geli melihat pacat yang jarang ditemui,” luahnya.

 

Jauh ke dalam hutan, ada peserta yang asma dan tidak dapat berjalan namun dengan semangat berpasukan, di saat mental fizikal semakin lemah mereka sedia membantu, saling kuat menguatkan sehingga berjaya menamatkan perjalanan.

 

Jelasnya, semangat kental dan kekuatan fizikal penting untuk mengatasi halangan semasa ekspedisi ini dan bersyukur tiada kejadian yang tidak diingini, semuanya pulang dalam keadan selamat.

 

“Aktiviti santai ini sungguh menyeronokkan pelajar kerana dapat menghilangkan tekanan selepas penat belajar terutamanya menjelang musim peperiksaan, rehat otak, fizikal cergas mental cerdas baru boleh menjana kecemerlangan,” ujarnya.

 

Di akhir program tambahnya, peserta semakin memahami erti kepimpinan, kerja dalam pasukan, komunikasi dan empati sekali gus berjaya mempamerkan kreativiti. 

 

Tags: terkini