Kejohanan Golf Sirkit Remaja Kedah Siri 1 Beri Pendedahan Pengurusan Majlis Kepada Pelajar UUMNGA

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh: Akademi Golf Nasional UUM

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

Kejohanan Golf Sirkit Remaja Kedah Siri 1 Beri Pendedahan Pengurusan Majlis Kepada Pelajar UUMNGA

SINTOK - Buat julung kali, Akademi Golf Nasional UUM (UUMNGA) dan Jawatankuasa Golf Remaja Kedah dengan kerjasama  Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Persatuan Golf Darulaman dan Majlis Sukan Negeri Kedah menganjurkan Kejohanan Golf Sirkit Remaja Kedah Siri 1 pada 28 April lalu di Kelab Golf dan Rekreasi UUM.

 

UUM merupakan sirkit pertama selaku pemula bagi siri kejohanan tersebut yang mana Persatuan Golf Mahasiswa UUM terdiri pelajar UUMNGA telah diberi kepercayaan menerajui perjalanan kejohanan sebagai urusetia.

 

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin.

 

Beliau berkata, Kejohanan Golf Sirkit Remaja Kedah yang pertama kalinya dianjurkan itu diharap menjadi platform bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan golf dan juga sebagai satu usaha berterusan untuk menarik minat serta penglibatan lebih ramai pelajar sekolah dalam sukan tersebut.

 

“Kejohanan ini turut mencipta sejarahnya tersendiri yang mana ia merupakan satu-satunya kejohanan golf peringkat negeri Kedah yang melibatkan semua pelajar sekolah dari seluruh negeri.

 

“Pada masa sama, kita melibatkan pelajar UUMNGA sebagai urusetia supaya mereka memperoleh pengalaman baharu dalam mengendalikan acara besar seperti ini yang turut melibatkan masyarakat luar,” katanya.

 

Tambah beliau lagi, kejohanan itu juga menjadi medan terbaik kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan Majlis Sukan Negeri Kedah untuk memilih pemain golf terbaik selaku wakil negeri ke kejohanan-kejohanan seperti Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA).

 

Pada kejohanan itu, kategori dipertandingkan ialah Lelaki Bawah 12, Bawah 15 dan Bawah 18 serta kategori Perempuan Bawah 12, 15 dan 18 tahun.

 

Bagi kategori lelaki, Muhammad Nurhadie (skor 96), Badrul Hadi Bahari (skor 84) dan Muhammad Zafry Zamri (skor 85) masing-masing telah muncul juara bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 12 tahun.

 

Manakala Anis Waheeda Adnan (skor 106), Sunitha (skor 103) dan Nur Ain Qistina (skor 112) masing-masing telah menjuarai kategori perempuan bawah 18 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 12 tahun.

 

Hadir sama, Mohd Rom Muslim, Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Latihan) UUMNGA; pegawai-pegawai UUM, urusetia dari Persatuan Golf Mahasiswa UUM dan ahli-ahli Jawatankuasa Golf Remaja Kedah.

 

Tags: terkini