Padang Golf Baharu UUM Mampu Jana Kekayaan

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Oleh: Seksyen Media

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

Padang Golf Baharu UUM Mampu Jana Kekayaan

SINTOK - Pembinaan padang golf baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah satu bentuk pelaburan awal dalam menjana kekayaan kepada UUM.

 

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata padang golf baharu UUM berupaya membantu universiti menjana kekayaan dengan menarik lebih ramai pemain golf dari dalam dan luar negara bermain di sini.

 

"Dengan adanya padang golf bertaraf antarabangsa yang mempunyai 18 lubang sudah pasti akan menjadi satu tarikan baharu dan tumpuan pemain golf seluruh Malaysia untuk datang bermain sini sambil menyaksikan sendiri keindahan padang golf UUM," ujarnya

 

Selain itu katanya juga matlamat pembinaan padang golf baharu ini juga adalah untuk meneruskan peranan UUM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf.

 

"Tidak dinafikan UUM telah berjaya mengetengahkan bakat pemain golf yang berjaya mewakili negara hingga ke peringkat antarabangsa, namun kita berhasrat untuk melahir lebih ramai lagi pemain tersohor dalam sukan ini.

 

"Justeru pembinaan padang golf ini diharap dapat merealisasikan hasrat itu," katanya pada majlis penyerahan Padang Golf Baharu (4 lubang) kepada Kelab Golf dan Rekreasi UUM petang semalam.

 

Fasa pertama proses naik taraf padang golf UUM daripada 9 lubang sedia ada kepada 18 lubang telah siap sepenuhnya pada Januari 2016.

 

Ia  melibatkan proses penambahan empat lubang dengan keluasan 60 ekar yang membabitkan kos sebanyak RM4 juta.

 

Fasa kedua proses naik taraf ini melibatkan penambahan lima lagi lubang dengan keluasan 50 ekar dijangka bermula September tahun ini.

 

Menurut Naib Canselor lagi apabila siap sepenuhnya proses naik taraf padang golf itu nanti UUM berhasrat untuk menswastakannya agar penyenggaraan padang golf itu dapat dilakukan dengan lebih baik di samping memberi pendapatan kepada Universiti.

 

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Nor Azizi Ismail; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan, Ir Md Uzairin Saidin.

 

Tags: terkini