3 Pingat Perak Dan 3 Pingat Gangsa Di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM Edisi-7, 2016

on . Posted in Ekonomi & Sukan

Gambar oleh : Ihsan UTHM & Pusat Sukan

3 Pingat Perak Dan 3 Pingat Gangsa Di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM Edisi-7 2016

JOHOR - Pesilat-pesilat Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam acara-acara yang telah dipertandingkan baru-baru ini bertempat di Square One Mall, Batu Pahat, Johor dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi-7, 2016.

Pingat perak pertama UUM ini telah disumbangkan menerusi Nur Fatin Nabilah Mohamad Saleh dalam acara silat seni jurus tunggal putri setelah mengutip markah sebanyak 441 mata daripada 24 IPT yang mengambil bahagian dalam acara ini.

 

Kecemerlangan UUM diteruskan dengan pingat perak kedua menerusi silat seni ganda putri gandingan Nur Syahirah Hashim dan Siti Norzaleha Abdullah seterusnya pingat perak ketiga menerusi gandingan Nur Aisyah Razani, Nur Alyaa Aqilah Mat Lazin dan Siti Nurhayati Jamaludin.

 

Sementara itu, tiga pingat gangsa telah disumbangkan menerusi Muhd Faiz Muhd Zuki dalam silat olahraga kelas A putra, Mohd Amirul Rahim Mohd Nordin silat olahraga kelas G putra dan pingat gangsa terakhir Nurul Shafiqah Mohd Noh silat olahraga kelas F putri.

 

Kejohanan tahunan ini adalah anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang menyaksikan hampir 850 pesilat daripada 43 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Tempatan dan Antarabangsa termasuk Politeknik dan Kolej-Kolej Komuniti yang mengambil bahagian.

 

Pengarah Pusat Sukan Prof. Dr. Mohd Sofian Omar Fauzee berkata, “ Tahniah diucapkan kepada pesilat-pesilat UUM atas sumbangan pingat buat UUM pada kejohanan kali ini “.

 

Semoga pada kejohanan-kejohanan yang akan datang pesilat-pesilat UUM akan terus cemerlang dalam menyumbang pingat buat UUM, tambahnya lagi.

 

Tags: terkini