Karnival Varsiti IMT-GT Ke-17 Serlah Budaya 3 Negara

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

imtgt karnival

SINTOK - Persembahan 'Cinta Sayang dan Seloka Kedah' oleh Kumpulan Tarian Bidasari membuka tirai secara rasmi Karnival Varsiti IMT-GT Ke-17 yang penuh warna-warni di Dewan Mu'adzam Shah, malam semalam.

Upacara berwarna-warni yang memukau hampir 1400 mahasiswa dari 12 universiti itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan tiga negara iaitu Indonesia (Indonesia Raya), Thailand (Phleng Chat Thai) dan Malaysia (Negaraku).

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato' Mohd Rawi Abd Hamid merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya yang mewakili Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Dato' Mohd Rawi berkata, penganjuran Karnival Varsiti IMT-GT itu adalah bertepatan dengan realiti kehidupan sekarang yang mana setiap negara mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi sosial, politik dan ekonomi, justeru perbezaan tersebut tidak perlu dijadikan alasan untuk masyarakat memilih hidup secara berasingan dan bersendirian. 

Menurutnya, karnival ini juga boleh dijadikan sebagai pentas untuk menyatukan semua orang menerusi pelbagai acara ditawarkan tanpa mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara satu sama lain.

Presiden Majlis IMT-GT, Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, beliau berharap semua peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti sepanjang karnival berlangsung dapat memenuhi objektif penganjuran Karnival Varsiti IMT-GT bersesuaian dengan tema tahun ini iaitu 'Unity In Diversity'.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai tuan rumah atas kesungguhan dan kejayaan menganjurkan karnival tersebut pada tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim yang mewakili Naib Canselor berkata, UUM berbesar hati dan gembira kerana diberi peluang dan mendapat kepercayaan untuk menjadi tuan rumah Karnival Varsiti IMT-GT ke-17.

Majlis yang diakhiri dengan persembahan kebudayaan dari ketiga-tiga negara itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Zaini Japar; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Noor Azizi Ismail, pegawai-pegawai UUM serta ketua-ketua delegasi dari 12 universiti terlibat.

Tags: terkini