Semangat Kerjasama Asean Diperlihatkan Dalam Karnival Varsiti IMT-GT Ke-17

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

PENUTUP IMTGT

SINTOK - Bertepatan dengan temanya "Unity in Diversity," Karnival Varsiti IMT-GT ke-17 yang melabuhkan tirainya malam tadi menjadi bukti bahawa semangat perpaduan dapat dijelmakan melalui pelbagai aktiviti meskipun dibatasi dengan perbezaan budaya, agama dan latar belakang.

Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tuan rumah bagi karnival kali ke-17 yang menyatupadukan pelajar-pelajar universiti di segitiga pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand menerusi kerjasama dalam aktiviti Sukan, Kebudayaan dan Seminar Akademik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Dato Ahmad Zaini Japar berkata hubungan sesama negara terlibat dapat diperkukuhkan melalui kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival itu berlangsung.

"Persaingan yang sihat melalui aktiviti sukan serta perkongsian idea semasa seminar akademik memperlihatkan sikap toleransi antara satu sama lain. Saya yakin semangat perpaduan yang diperoleh dalam karnival ini, tidak hanya berakhir di sini dan akan dibawa pulang oleh setiap peserta ke negara masing-masing.

Persahabatan yang tercipta semasa karnival ini adalah sesuatu yang tidak ternilai dan perlu dihargai," kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Varsiti IMT-GT ke-17 di Dewan Mu'Adzam Shah, malam tadi.

Dato Ahmad Zaini turut menyampaikan Sijil dan Anugerah Amalan Terbaik/Best Practice Awards (Aktiviti Kebudayaan) kepada para peserta terlibat.

Majlis penutup penuh warna warni itu dimulakan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia, Indonesia dan Thailand dan diikuti dengan persembahan kebudayaan menarik daripada kesemua peserta dari 12 buah universiti yang terlibat.

Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof Dato' Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata setiap peserta yang terlibat dalam  karnival itu adalah "role model" kepada belia-belia ASEAN yang lain kerana menunjukkan perpaduan menerusi aktiviti sukan, kebudayaan dan seminar akademik.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dengan penuh keazaman dan hormat-menghormati, berkongsi dan belajar daripada satu sama lain, sememangnya anda semua adalah masa depan ASEAN!"

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan karnival berkenaan termasuk sejumlah 119 sukarelawan UUM yang telah menyumbang bakti dan tenaga bagi memastikan karnival berkenaan berjalan lancar.

Presiden Majlis Varsiti IMT-GT, Prof Dato’ Dr. Adnan Hussein pula berkata Karnival Varsiti IMT-GT yang dianjurkan setiap tahun itu mencapai objektifnya dalam membangunkan kesepakatan ke arah melahirkan Komuniti ASEAN.

Turut berlangsung majlis penyerahan bendera kepada tuan rumah Karnival Varsiti IMT-GT ke-18, Rajamangala University of Techology Sri Vijaya (RMUTSV), Songkhla, Thailand.

Terdahulu pada sebelah petang turut diadakan Majlis Minum Petang bersama rakan-rakan IMT-GT bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Majlis Minum Petang itu dianjurkan oleh bekas Presiden Majlis Varsiti IMT-GT, yang juga Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman di EDC-UUM.

Hadir sama pada perasmian penutup ialah Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim dan pegawai-pegawai IMT-GT.

 

Tags: terkini