Kanlungan (Refuge) Menang Besar Ketepikan Saingan Terdekat Pada AYIFF'15 Gala Night

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

aiyiff

SINTOK - Filem Kanlungan (Refuge) hasil karya Louise Isabel Corpuz Mendoza diangkat sebagai filem terbaik pada Asian Youth Indie Film Festival 2015 (AYIFF’15) Gala Night yang diadakan julung kalinya oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengiktiraf karya penggiat seni filem Indie yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, malam tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus menewaskan enam saingan terdekatnya iaitu March 9, 1993, Daddy... Aqi Nak Jadi Tok Dalang, Princess Urduja, Semut dan Siput, Watery Grave dan Doraiman bagi kategori Best Of The Best.

Sebanyak 11 anugerah disampaikan pada AYIFF'15 Gala Night yang menyaksikan persaingan antara penggiat seni filem Indie tempatan dan juga negara Asia lain yang turut mengambil bahagian.

Selain itu, Louise Isabel Corpuz Mendoza dari U.P. Film Institute of the Philippines, Universiti of the Philippines – Diliman turut meraih anugerah Best Narrative Film dan Best Cinematography.

Sebelum itu, dengan tema 'black tie', barisan penggiat seni tampil anggun dan elegan di acara karpet merah AYIFF'15 Gala Night.

Malam festival itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib dan hadir sama Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Yang Berhormat Dato' Mohd Khusairi dalam ucapan beliau berkata, AYIFF dengan bertemakan 'Cultivating Youth Creativity' diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai bakat, idea dan kualiti kerja artis-artis muda yang menghasilkan filem Indie.

Menurutnya, penganjuran festival tersebut adalah sangat baik kerana sejak kebelakangan ini menyaksikan minat generasi muda dalam industri seni kreatif ini semakin meningkat dan AYIFF telah menjadi platform kepada mereka untuk saling bertukar fikiran dan pendapat sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Katanya, sempena penganjuran festival itu juga, UUM turut mengadakan Creative Industry International Conference (CIIC) 2015 yang menawarkan peluang dan platform kepada penyelidik untuk berkongsi idea dan menjalin hubungan dengan pakar-pakar dalam bidang industri kreatif.

"Dalam gambaran yang lebih besar, industri kreatif Malaysia telah berkembang dengan pesat. Malaysia kini menjadi peserta penting dalam bidang industri kreatif di rantau ini. Malah, industri ini telah dilihat sebagai platform sokongan kepada industri-industri lain di Malaysia, yang kini ke arah antarabangsa.

"Melalui Anugerah AYIFF, kita berharap untuk mencari dan memupuk pembikin filem muda yang berbakat supaya sektor industri kreatif akan terus berkembang dan ini adalah satu petanda baik bagi masa depan industri kreatif dengan memiliki generasi muda yang berupaya menghasilkan filem seperti itu," katanya di sini.

Ujar beliau lagi, AYIFF'15 diharap dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada bakat muda untuk meneruskan minat mereka dalam industri kreatif dan UUM akan terus menjadi tuan rumah bagi penganjuran festival gilang-gemilang itu pada setiap tahun.

Sementara itu, Yang Berbahagia Naib Canselor pada sidang media berkata, penganjuran AYIFF'15 ini adalah sebahagian sumbangan universiti untuk membantu industri dalam melahirkan dan mencungkil bakat muda yang akan meneruskan warisan Dato' Yusof Haslam supaya negara tidak akan putus bakat baru, bagaimanapun mereka perlu dididik dengan ilmu pengetahuan yang tinggi.

Katanya, UUM juga bakal menghasilkan graduan kumpulan pertama Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif pelbagai bidang yang mana menyaksikan graduan tersebut bukan sahaja belajar cara penghasilan filem tetapi juga pengurusan dan 'business'.

"Dua elemen ini penting kerana untuk berjaya dalam industri kreatif ini perlu menguasai dua ilmu tersebut dan UUM satu-satunya universiti yang menggabungkan dua bidang ini untuk mengeluarkan pengurus industri yang hebat dan berkebolehan.

"Kita boleh lihat hasil penganjuran festival ini yang diuruskan oleh pelajar-pelajar sendiri dengan bimbingan pensyarah. Saya rasa gembira dan berpuas hati atas usaha mereka untuk menjayakan acara gilang-gemilang ini," ujar beliau.

Tambahnya lagi, beliau juga yakin dan dengan sambutan diberikan serta sokongan FINAS, UUM akan menganjurkan AYIFF ini setahun sekali atau dua tahun sekali supaya ia menjadi acara tahunan universiti.

Filem Daddy... Aqi Nak Jadi Tok Dalang merangkul anugerah Best Documentary Film, Best Animation Film (Semut dan Siput), Best Experimental Film (Watery Grave), Best Public Service Announcement (March 9, 1993), Best Direction (Tan Ce Ding), Best Script/Screenplay (Princes Urduja), Promising Young Minds (Doraiman) dan Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Noor Shafiq Nordin (Indraloka).

Selain itu, anugerah 'Ikon Filem Generasi Muda' diberikan kepada pengarah Datuk Yusof Haslam sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam industri perfileman negara.

AYIFF'15 yang dihoskan oleh Muaz Mohamed dan Tasneem itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Azlan Typewriter, Aweera, Azhael dan Salma Mentor.

Turut hadir, Penerbit Orangetree Production Sdn Bhd, Datuk Jaspal Singh Sher Singh; Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG), Jurey Latiff Rosli; pegawai kanan UUM dan barisan artis seperti Afiq Muaz, Fizo Omar dan Nur Zahirah Zainol Macwilson.

Tags: terkini