49 Penggiat Seni Industri Kreatif Sambung Pengajian Peringkat Ijazah Dan Sarjana Di UUM

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

 

1

 

 

Kuala Lumpur – Seramai 49 orang penggiat seni antaranya pelakon, penyanyi, dan kakitangan belakang tabir dalam industri kreatif ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) dan Sarjana Sains Pengurusan mod Penyelidikan (Msc. Management by Research) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Daripada jumlah tersebut, 35 orang akan mengikuti program BCIM secara mod separuh masa antaranya Hazama, Tomok, Aril AF7, Taja (Meet Uncle Hussein), Fiza Elite, Pekin Ibrahim, Fattah Amin, Fiffy Natasya dan Adibah Yunus.

 

Sehubungan itu, satu Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengajian Kepada Penggiat Seni Dan Pelantikan Prof Adjung  telah diadakan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, petang semalam.

 

Penyampaian surat tawaran pengajian itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad yang mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak.

 

Beliau yang membaca teks ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata majlis berkenaan adalah cerminan kepada usaha berterusan untuk memastikan survival kepada penggiat seni yang boleh dilakukan melalui pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan oleh UUM.

 

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua bakal pelajar yang telah berusaha dan menunjukkan komitmen tinggi untuk berada di sini. Sememangnya komitmen yang tinggi ini akan mengasah bakat dan potensi yang ada pada diri masing-masing,” ujarnya.

 

Tambahnya lagi bidang industri kreatif adalah bidang yang boleh memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi dan pencapaian budaya negara seperti mana berlaku di negara maju. 

 

“Antaranya seperti di Amerika Syarikat industri ini menyumbang sehingga $3 trillion dollar Amerika kepada keluaran dalam negara kasarnya begitu juga statistik di United Kingdom, Korea Selatan dan Australia yang menunjukkan industri ini juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut.”

 

Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata program berkenaan akan mengambil masa selama lima tahun di bawah kendalian Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) dan kampus UUM di Kuala Lumpur (UUMKL).

 

Jelasnya program itu adalah sebahagian daripada agenda untuk menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu pendidikan sepanjang hayat.

 

“Selain itu kita juga membantu menjana modal insan dalam industri kreatif yang dilihat sebagai satu industri yang sangat menguntungkan sekiranya dapat melahirkan bakat dan usahawan dalam bidang ini sekali gus menjadikan industri ini lebih besar, hebat dan berjaya,” katanya.

 

Sesi taklimat akademik dan pendaftaran pelajar yang akan mengikuti program berkenaan juga diadakan selepas majlis berkenaan berlangsung.

 

Mereka merupakan pelajar ambilan pertama bagi program yang dijangka bermula Oktober ini di kampus UUMKL. Kumpulan pertama pelajar ini akan mengikuti program dengan struktur kursus yang sama seperti pelajar sepenuh masa dan kualiti pembelajaran yang terjamin selama lima tahun pengajian. 

 

Antara objektif utama penawaran program ini adalah memberi peluang kepada penggiat seni yang telah berada dalam industri untuk turut sama mendapat ilmu dan mengembangkan kerjaya pada masa hadapan yang seiring dengan 10 lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu pendidikan sepanjang hayat. 

 

Selain itu, penggiat seni akan mendalami ilmu pengurusan secara formal yang berkaitan dengan pengurusan bakat dan industri kreatif dalam ruang lingkup akademik dan diperkukuhkan dengan pengalaman dan praktikal yang telah mereka lalui.    

 

Inisiatif penawaran program ini secara separuh masa di bawah kendalian PACE dilihat sebagai langkah permulaan bagi golongan penggiat seni mengembangkan pendidikan mereka ke tahap yang lebih tinggi. 

 

Sementara itu, pelakon Datuk Eizlan Yusof, Fizo Omar, Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramlie merupakan antara 14 yang menerima surat tawaran bagi mengikuti program Sarjana Sains Pengurusan mod Penyelidikan (Msc. Management by Research) di bawah Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB).

 

Pada majlis yang sama juga UUM menyerahkan surat lantikan Profesor Adjung kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad (The Star Publications (Malaysia) Berhad). 

 

Majlis turut menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Samsudin Osman menyampaikan sijil Associations of MBAs  (AMBA) kepada Naib Canselor. 

 

AMBA merupakan pihak berkuasa antarabangsa untuk pendidikan perniagaan pascasiswazah, yang ditubuhkan pada 1967. UUM memperoleh akreditasi ini melalui program MBA di bawah OYAGSB pada 29 September lalu sekaligus meletakkan program MBA UUM setanding dengan program di Universiti ternama dunia seperti University of Cambridge dan University of Oxford di United Kingdom.

 

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Felo Utama OYAGSB, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj. Mohd Nasir Mohd Ashraf, dan pegawai-pegawai kanan UUM.

Tags: terkini