Briged Tengah Johan Pertandingan Nyanyian Dan Kugiran Piala Ketua Polis Negara 2015

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh Unit Komunikasi Korporat

kugiran polis

SINTOK - Briged Tengah atau nama kumpulannya Evergreen telah muncul johan Festival Nyanyian Dan Kugiran Piala Ketua Polis Negara 2015 kategori kugiran menewaskan 14 kumpulan yang lain.

Briged Tengah yang mewakili Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 dan piala iringan.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Kontinjen Pahang yang membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala iringan dan tempat ketiga dimenangi oleh Kontinjen Kedah yang membawa pulang RM1,000 dan piala iringan.

Bagi kategori nyanyian lagu asli pula telah dimenangi oleh Kontinjen Johor seterusnya berjaya mempertahankan gelaran kejuaraan tersebut selama tiga tahun berturut-turut.

Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan penyertaan 15 kumpulan kugiran dan 14 peserta nyanyian lagu asli yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh Malaysia yang mana Kontinjen PDRM Kedah terpilih sebagai tuan rumah festival pada kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, YDH CP Dato’ Zamri Yahya dalam ucapannya berkata pertandingan itu merupakan satu platform untuk membentuk warga PDRM yang serba boleh.

“Pertandingan yang dianjurkan ini secara tidak langsung dapat menggilap bakat anggota polis di samping mengeratkan hubungan antara warga PDRM di seluruh Malaysia.

Selain itu saya percaya ia dapat menjana satu warga yang serba boleh dan berbakat dalam bidang seni. Acara seperti ini penting kerana ia adalah lambang ke arah kerjasama dalam pasukan,” katanya dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), malam tadi.

Majlis Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, YDH Dato’ Jamshah Mustafa.

Beliau berharap penganjuran program seperti ini dapat melahirkan warga PDRM yang hebat dan berintegriti dalam menjalankan tugas.

“Saya sangat terharu dengan sambutan yang menggalakkan daripada warga PDRM yang menyertai pertandingan ini. Saya berharap penganjuran program ini dapat menjadi faktor penyumbang kepada sebuah pasukan yang hebat, bertenaga dan kreatif sama ada dalam aktiviti harian ataupun urusan kerja. Tahniah kepada pihak penganjur.

“Terima kasih juga kepada pihak UUM yang banyak memberikan kerjasama dan bantuan dalam menyediakan kemudahan yang baik dalam menjayakan penganjuran ini,” katanya.

Tags: terkini