“BUSKING” Cungkil Bakat Pelajar

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh: Musyaznie Mokhtar
Foto: Persatuan Pengurusan Awam
 
busking 2

SINTOK - Persatuan Pengurusan Awam (BPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Battle of Buskers sempena Bulan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) untuk mencungkil bakat pelajar yang mempunyai minat dalam bidang nyanyian dan bermain alat muzik.

Menurut Pengarah program, Mohd Haziq Kassim berkata pertandingan nyanyian ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan bakat pelajar UUM yang luar biasa dalam bidang nyanyian sambil bermain alat muzik.

“Bakat yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan pihak kami telah menyediakan satu platform untuk mereka mempamerkan kebolehan diri masing-masing serta dapat mengeratkan ukhwah pelajar UUM yang datang bertanding dari pelbagai jurusan pengajian. 

“Selain itu, konsep santai yang diketengahkan dalam program ini mampu menjadikan suasana tidak terlalu tegang kerana pada saat ini pelajar dalam persiapan terakhir untuk menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 20 Disember nanti. Jadi pelajar boleh tenang seketika sambil berhibur untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi,” kata beliau dalam ucapan perasmian program Battle of Buskers di Foyer COLGIS.

Melibatkan empat kumpulan yang bertanding dalam Battle of Buskers iaitu Kertas Renyok, Bubble Shake, AH dan Bidan Terjun. Kumpulan Kertas Renyok yang dianggotai oleh pelajar semester pertama dalam jurusan Sains Multimedia berjaya menjuarai pertandingan apabila mempersembahkan lagu hasil nukilan sendiri yang bertajuk Kau Pergi.

Naib Johan dari Kumpulan Bidan Terjun dengan lagu yang berjudul Tapi Bukan Aku manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Bubble Shake yang dianggotai oleh pelajar antarabangsa dengan menyampaikan lagu I’m Yours.

Para juri terdiri daripada Pengarah program dan Pengerusi Persatuan Pengurusan Awam, Eqmal Aliff Halid. Juri awam yang turut mengadili persembahan terdiri daripada penonton yang hadir.

Tags: terkini