Kenali UUM menerusi Drama Bersiri "Inikah Cinta"

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh: Musyaznie Mokhtar

Kenali UUM menerusi Drama Bersiri Inikah Cinta

SINTOK - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata drama bersiri terbitan Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat UUM amat bertepatan dengan tema Discover UUM 2016 pada tahun ini.

"Sempena tahun melawat Kedah, pihak UUM juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan universiti di utara tanah air menerusi drama bersiri ini.

"Drama ini turut dihasilkan sempena Discover UUM 2016 dalam usaha giat mempromosi UUM kepada masyarakat luar untuk datang melawat dan menjadi sebahagian dari warga UUM melalui keindahan panorama kampus di rimba hijau selaras dengan konsep edutourism," ujar beliau dalam ucapan Majlis HI-TEA Krew & Artis Penerbitan Drama Bersiri Inikah Cinta di Dewan Sri Angsana, Hotel EDC UUM.

“Inikah Cinta” merupakan drama bersiri arahan pengarah muda Ahmad Khalid Ahmad Nadzri yang telah menghasilkan karya drama bersiri tanah air antaranya Runtun Qalbu, Zahira. Beliau adalah adik kepada penerbit dan pengarah terkenal, Ahmad Idham.

Pengambaran yang bermula pada 30 Novermber 2015 dan dijangka akan selesai pada 7 Januari 2016 akan ditayangkan menerusi Slot Dahlia, TV3 setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 30 Januari nanti pada jam 7 malam.

Hampir 70 % lokasi pengambaran drama bersiri 14 episod dilakukan sepenuhnya di UUM manakala 30 % dilakukan disekitar Pekan Changlun, Gunung Jerai dan Cameron Highland.

Drama bersiri genre romantik komedi mengisahkan seorang pemuda bernama Muammar (Niezam Zaidi) yang ingin bercinta dengan seorang gadis bernama Rose (Farah Nabila) dan diberikan syarat untuk mencari 3000 bunga namun  dalam usahanya memenuhi permintaan Rose, dia menghadapi pelbagai kisah lucu dan romantik.

Selebriti yang membintangi drama bersiri ini antaranya Jasmin Hamid, Kaza, Fizz Fairuz, Farah Nabila, Niezam Zaidi, Syaimi Aida, Awira, Acap dan Zee (Bintang Mencari Bintang).⁠⁠⁠⁠

Tags: terkini