Pelajar BCIM SMMTC Terpilih Terbitkan Telefilem Astro Bernilai RM 100,000

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh : Drs. Bambang SM Said

PELAJAR BCIM SMMTC TERPILIH TERBITKAN TELEFILEM ASTRO BERNILAI RM100000

BUKIT JALIL - Seorang pelajar tahun akhir dari program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Kolej Sastera dan Sains UUM, Wan Mohd Rafiq Wan Shamsul Kamaltelah berjaya dalam pembentangan atau `pitching’ proposal skrip bertajuk `Wau Kasih’ pada 16 Februari 2016 bertempat di stesen Astro Bukit Jalil. Dengan kejayaan ini, Wan Mohd Rafiq akan bekerja dengan pihak Astro Citra dalam Projek Citra IPT untuk penerbitan telefilem yang bernilai RM100,000.00. Wan Mohd Rafiq akan bekerjasama dengan pengarah Sabri Yunus sebagai penolong pengarah dalam telefilem tersebut yang dijangka penggambarannya pada pertengahan bulan Mac 2016 ini dan dijangka ditayangkan pada bulan Mei 2016 di saluran Astro Citra.

 

Wan Mohd Rafiq berjaya mengungguli daripada tiga orang pelajar SMMTC UUM CAS yang telah disenarai pendek untuk menghadiri pembentangan `pitching’ proposal skrip telefilem ini. Selain Wan Mohd Rafiq, dua orang pelajar lagi ialah Noor Shafiq Nordin (BCIM) dan Norain Ibrahim (BMT). Penyelaras program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) Encik Ahmad Hisham bin Zainal Abidin dan pensyarah BCIM Drs. Bambang Suhartono bin Mohd Said telah mengiringi pelajar ke sesi pembentangan `pitching’ tersebut. Menurut Encik Akmal Ziaq Nawawi, Penolong Timbalan Presiden Pengurus Saluran (Assistant Vice President Channel Manager) Astro Citra, Projek Citra IPT merupakan julung-julung kali dilaksanakan  oleh pihak Astro Citra untuk memilih tunas baru dari IPT di Malaysia  dalam bidang perfileman untuk penerbitan telefilem berkualiti dan memenuhi citra rasa penonton di Saluran Citra. Program ini juga memberi peluang kepada pelajar IPT untuk mendapatkan kemahiran profesional bersama pengarah telefilem tersohor negara.

 

Sabri Yunus merupakan ketua juri dalam pembentangan `pitching’ tersebut akan bertindak selaku pengarah dan membimbing Wan Mohd Rafiq untuk menjayakan telefilem `Wau Kasih’. Sabri Yunus mengulas, `Wau Kasih’ terpilih kerana jalan ceritanya yang menarik dan penonjolan  kehebatan  budaya Melayu serta padat dengan konflik kekeluargaan antara anak dengan ayah. Beliau bercadang akan membuat penggambaran telefilem ini di negeri Kelantan.

 

Encik Ahmad Hisham selaku penyelaras BCIM menyatakan, beliau sangat berbangga dengan pencapaian Wan Rafiq yang juga merupakan cohortpertama program BCIM kerana melalui program Projek Citra IPT ini ia dapat menguji kemampuan pelajar dalam bidang industri kreatif seterusnya  dijadikan sebagai aset dalam memartabatkan imej  dan pengkomersilan produk SMMTC.

Tags: terkini