OBS Lahir Generasi Cinta Budaya Malaysia

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh : Pusat Budaya Dan Seni

OBS Lahir Generasi Cinta Budaya Malaysia

SINTOK - Dalam memastikan semangat cinta kebudayaan dan kesenian bangsa Malaysia terus diperkukuhkan daripada segenap penjuru, sudah pasti perencanaan pertama perlu difikirkan adalah generasi pelapis.

Justeru, Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program Organisasi Budaya Siswa (OBS) untuk memupuk minat dan mencari pelapis baru dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

OBS adalah program uji bakat terbuka kepada semua mahasiswa UUM dan PBS menawarkan lapan skop utama kebudayaan iaitu muzik, tarian, lukisan, apresiasi sastera, teater, nasyid, keperluan teknikal dan juga pengurusan acara.

Antara objektif program ini adalah untuk memaparkan karisma mahasiswa, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri mahasiswa serta dapat mendorong membentuk jati diri dan semangat cintakan budaya bangsa dalam kepimpinan mahasiswa.

Hampir 1,500 mahasiswa telah mendaftarkan diri untuk menyertai uji bakat sekaligus membuktikan bahawa PBS mampu melahirkan aktivis dan pelapis mengikut perencanaan yang telah disusun.

Menurut Pengarah PBS Huzaidy Hussain, keperluan mahasiswa dalam menceburi bidang ini adalah sebagai satu persediaan awal dan mempelajari nilai tambah yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan masyarakat kelak.

"Peluang ini harus diambil oleh setiap mahasiswa sebagai satu medium terbaik untuk melahirkan aktivis dan pelapis bukan sekadar sedia memberi komitmen dalam sebarang bentuk aktiviti bahkan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam kebudayaan dan kesenian bangsa Malaysia", tambahnya lagi.

"Kekuatan perancangan PBS terletak kepada hakikat bahawa PBS bukan hanya sekadar mencungkil bakat kesenian, sebaliknya PBS secara berterusan mendidik mereka dengan menekankan adat dan tradisi bangsaā€¯, katanya lagi.

Program ini adalah salah satu pendekatan yang digunakan oleh PBS dalam mendidik mahasiswa yang akan berfungsi sebagai seorang pemimpin negara suatu hari nanti.

Tags: terkini