Dua Ikon Muzik Kongsi Pentas, Pengalaman Seni Pada Konsert 8 Mei Ini

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh: Seskyen Media

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

Dua Ikon Muzik Kongsi Pentas

KUALA LUMPUR, 7 April - Dua ikon terkenal industri muzik tanahair, Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip akan mengadakan konsert di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Mei ini bertempat di Dewan Mu'adzam Shah.

 

Konsert yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM dengan kerjasama Rasamusic Sdn Bhd diadakan dengan hasrat meluaskan kolaborasi di antara warga akademik, pelajar dan pihak industri.

 

Perjalanan, pengalaman dan aliran falsafah dua legenda muzik ini juga akan dikongsikan yang bakal mengimbau usaha mereka sehingga berjaya menjadi role model kepada generasi muda masa kini.

 

Dekan SMMTC, Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata konsert itu juga akan menyaksikan para pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) terlibat sepenuhnya dengan berganding bahu bersama tenaga profesional berpengalaman untuk menghasilkan sebuah konsert dengan nilai kualiti yang tinggi.

 

"Selain didedahkan dengan perjalanan konsert, kita mahu pelajar-pelajar mempunyai hubungan secara langsung dengan kedua-dua ikon ini sekali gus mereka dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kelas.

 

Turut akan diadakan sesi wacana bersama Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip pada sebelah pagi, di mana kedua-dua mereka akan berkongsi ilmu bersama para pelajar," ujar beliau pada Sidang Media Konsert Ramli Sarip dan M Nasir di sini petang tadi.

 

Sidang Media itu turut dihadiri Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip serta pensyarah SMMTC, Mohd Idzwan Yacob selaku Pengarah konsert berkenaan.

 

Datuk M. Nasir berkata beliau melihat konsert berkenaan lebih kepada suatu wadah untuk beliau berkongsi pengalamannya dengan institusi akademik.

 

"Menerusi penganjuran konsert sebegini pelajar bukan sahaja dapat belajar dari segi teori, malah praktikalnya sekali.

 

Saya rasa amat berbangga dan berterima kasih, berpeluang terbabit dengan projek ini," katanya yang merupakan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah di dalam bidang Industri Kreatif UUM.

 

Sementara itu Datuk Ramli Sarip berkata konsert itu adalah sesuatu yang sangat berlainan berbanding konsert-konsert yang pernah diadakan sebelum ini.

 

"Kami sememangnya ingin berkongsi pengalaman, pandangan, senang susah dan masam manis perjalanan seni kami. Ia bukan hanya satu hiburan biasa bagi kami, ia lebih kepada kehidupan. 

 

Di sini kami dapat mendekati siswa siswi yang ingin mengetahui apa yang harus ada dan harus dijauhkan dalam mencari perjalanan utama dalam kerjaya seni.

 

Langkah UUM memberi ruang dan pentas untuk kami berkongsi pengalaman hidup kami ini adalah satu langkah yang amat tepat dan akan menjadi satu kenangan yang manis," jelasnya.

 

Pengarah konsert, Mohd Idzwan Yacob pula berkata konsert itu bakal menjanjikan satu pengalaman yang tidak dapat diperolehi di dalam dewan kuliah tetapi hanya dapat melalui pentas persembahan.

 

Konsert berdurasi 2 jam ini akan turut menampilkan pemuzik-pemuzik handalan tanah air yang akan mengiringi keseluruhan persembahan.

 

Tiket-tiket dijual pada harga RM20, RM60 dan RM150 dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 018-791 2529 (Shamsul) untuk maklumat lanjut.

 

Tags: terkini