UUM Naib Johan Festival Zapin Johor MAKUM 2016

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

UUM Naib Johan Festival Zapin Johor MAKUM 2016

SINTOK - Kumpulan zapin Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul naib johan pertandingan akhir Festival Zapin Johor MAKUM 2016 yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, UUM.

 

Kemenangan itu membolehkan kumpulan yang diwakili Kumpulan Tarian Bidasari Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM itu membawa pulang RM2,000 dan piala iringan.

 

Selain muncul sebagai naib johan, UUM turut memenangi anugerah Koreografi Terbaik dalam Festival yang berlangsung dari 21 hingga 24 April itu.

 

Seramai 350 peserta Zapin daripada 14 Universiti Awam (UA) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mengambil bahagian dalam festival yang dianjurkan oleh PBS UUM, Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

 

Setiap universiti diwakili 22 peserta dan pertandingan diadili oleh juri daripada Yayasan Warisan Johor.

 

Pertandingan akhir melibatkan lima pasukan iaitu UUM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidkan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

 

Pasukan UTM muncul sebagai johan pertandingan sekaligus membawa pulang RM3,000 berserta Piala Pusingan dan piala iringan, manakala tempat ketiga dimenangi UNIMAS dan  membawa pulang  RM1,000 berserta piala iringan.

 

Beberapa anugerah lain turut dipertandingkan iaitu Anugerah Khas Juri yang dimenangi oleh Universiti Malaya, Anugerah Busana Terbaik (Universiti Sains Malaysia) dan Anugerah Persembahan Terbaik (Universiti Teknologi Malaysia).

 

Pertandingan akhir itu juga dimeriahkan dengan persembahan selingan Tarian Ayam Didik oleh Sekolah Kebangsaan Convent Alor Setar serta persembahan dari Yayasan Warisan Johor.

 

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh ADUN Bukit Kayu Hitam, YB Dato' Hj. Ahmad Zaini Japar.

 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj Abdul Karim mewakili Naib Canselor; Encik Abdul Mutalib b. Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah; Encik Rahmat Hj. Md Noh, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis; Noor Syahrifah S Rusli, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Seni Budaya mewakili Pengarah Yayasan Warisan Johor; Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM, Huzaidy Hussain, pegawai-pegawai UUM dan MAKUM.

 

Tags: terkini