Alunan Indah Irama Melayu Dua Lagenda Muzik Tanahair Bergema Di UUM

on . Posted in Kesenian & Kebudayaan

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Seksyen Fotografi

KONSERT RAMLI NASIR

SINTOK - Dalam usaha mendekati anak muda dengan kekayaan khazanah seni yang mereka miliki, dua ikon muzik tanah air iaitu papa rock, Dato' Ramli Sarip dan sifu muzik Melayu, Dato' Dr M. Nasir menjelajah ke tujuh kampus di seluruh Malaysia bagi berkongsi pengalaman seni mereka dengan mahasiswa universiti.

 

Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menjadi salah sebuah kampus yang dijelajahi mereka sempena Ramli Sarip & M. Nasir University Tour 2016 yang menyaksikan Dato' Ramli Sarip dan Dato' Dr M. Nasir bergabung di atas satu pentas yang sama dalam konsert yang diadakan di Dewan Mu'adzam Shah.

 

Persembahan bertenaga dan menghiburkan oleh kedua-dua ikon industri muzik tersohor tanahair ini yang mendendangkan seleksi lagu-lagu popular mereka ternyata membuatkan peminat yang hadir terpukau dan terhibur dengan persembahan selama lebih dua jam itu.

 

Phoenix Bangkit, Apokalips, Keroncong Untuk Ana, Mustika dan Raikan Cinta merupakan antara lagu dipersembahkan dengan penuh tenaga serta penghayatan oleh Dato' Dr M. Nasir. 

 

Sementara Dato' Ramli Sarip mendendangkan lagu Istilah Bercinta, Budaya, Keliru, Bukan Kerana Nama, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama, Teratai dan Kamelia serta duet bersama Dato' Dr M. Nasir menerusi lagu Mantera Semerah Padi dan Jikalau Berkasih.

 

Turut hadir menyaksikan persembahan tersebut Pro-Canselor UUM, Yang Berbahagia Tun Dato' Sri (Dr.) Ahmad Fairuz Dato' Sheikh Abdul Halim dan isteri, Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh dan isteri, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Yang Berbahagia Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Naib Canselor, Yang Berbahagia Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama isteri serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

 

Bukan sekadar hiburan kosong semata-mata, konsert yang dibawakan oleh Rasamusic Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) ini turut menjadi medan perkongsian ilmu serta pengalaman suka duka bergelar anak seni kedua-dua lagenda muzik tanahair itu bersama mahasiswa UUM.

 

Menerusi Wacana Seni Muzik yang diadakan Dewan Seminar SMMTC sebelum konsert berlangsung, Dato’ Ramli Sarip dan Dato’ Dr M. Nasir telah berkongsi ilmu, realiti industri muzik berdasarkan pengalaman sebenar serta bersoal jawab dengan pelajar dalam pelbagai topik berkaitan industri seni.

 

Penganjuran Ramli Sarip & M. Nasir University Tour ini juga mendokong matlamat yang tinggi dalam meningkatkan industri seni tanah air dan pendidikan negara di samping menjadi platform agar peranan penggiat seni tanah air lebih difahami sekaligus memberi kesan positif kepada masyarakat terutama kepada pelajar-pelajar universiti di negara ini.

 

Selain UUM, universiti lain yang terlibat dalamRamli Sarip & M. Nasir University Tour ialah Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur; Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Alor Gajah, Melaka; Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah; Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

 

Tags: terkini