Majlis Profesor UUM Rai Anak Yatim

on . Posted in Komuniti

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

syawal

SINTOK - Biarpun sambutannya dilangsungkan di penghujung Syawal, namun Majlis Silaturahim Aidilfitri Majlis Profesor Bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) tetap meriah apabila turut meraikan 37 anak yatim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baharu Sintok (SMKBBS).

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata majlis yang diadakan bukan sekadar menyambut aidilfitri dan mengeratkan silaturahim tetapi juga menghiburkan anak-anak yatim.

“Tahniah kepada para profesor yang telah menghulurkan bantuan dan diharap anak-anak yatim yang diraikan pada hari ini terhibur.

Saya juga berharap rakan-rakan profesor akan terus merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang berada di sekitar kampus UUM,” katanya.

Tambahnya peranan profesor amat penting bukan sahaja terhadap lingkungan akademik dan pembangunan universiti tetapi juga sebagai pemikir negara yang akan mengemukakan pandangan dan panduan kepada kerajaan khususnya dalam menggubal dasar pembangunan negara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor, Prof. Dr Abd Razak Yaakub berkata atas rasa tanggungjawab, Majlis Profesor tidak lupa anak yatim.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dalam suasana menyambut Hari Raya, Majlis Profesor tidak lupa berkongsi kegembiraan kepada golongan yang memerlukan bantuan terutamanya anak-anak yatim yang diraikan hari ini supaya mereka turut merasainya kemeriahan Aidilfitri.

Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Wira yang mendapat Anugerah Kepimpinan Pendidikan dibawah kategori Asia Best Employer Brand Awards 2015 pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Asia Ke-6 di Singapura baru-baru ini,” katanya yang hadir di majlis tersebut, petang tadi.

Pada masa sama Majlis Profesor turut menyumbangkan duit raya kepada setiap anak yatim yang hadir.

Tags: terkini