Syukuri Nikmat Kemerdekaan

on . Posted in Komuniti

Oleh : Unit Komunikasi Korporat UUM

uum merdeka

SINTOK - Bagi menghayati erti kemerdekaan, warga universiti diminta untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 1957 dan nikmat ketenteraman yang dimiliki.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, rakyat Malaysia khususnya warga UUM tidak harus memandang remeh tentang kemerdekaan dan keamanan supaya tidak berputih mata dan menyesal di kemudian hari.

"Hakikatnya, kemerdekaan tidak pernah diperoleh dengan mudah. Pengorbanan pejuang kemerdekaan harus disanjung tinggi dan ini memerlukan kita agar senantiasa menginsafi bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam menjaga, menjulang nama dan melestarikan kemerdekaan ini daripada dicabul oleh mana-mana pihak.

"Sambutan kemerdekaan negara saban tahun diadakan ini juga adalah bertujuan memperbaharui azam dan cita-cita serta pancaran rasa taat setia rakyat kepada nusa dan bangsa, malah bagi mengingatkan anak muda kita khususnya yang akan mewarisi tanah air ini supaya betul-betul memahami erti kemerdekaan dan bertanggungjawab untuk menggenggam erat anugerah ini," ujarnya dalam Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti Utara Malaysia di Foyer Canselori, petang tadi.

Beliau yang mewakili Naib Canselor berkata, pelbagai aktiviti harus dilaksanakan bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, bukan sahaja dengan mengibar Jalur Gemilang tetapi dengan penganjuran ceramah, pameran, tayangan filem, bicara buku, kuiz, karnival, seminar, senamrobik, kayuhan basikal, konvoi bermotosikal dan gotong-royong.

Tambahnya lagi, dengan aktiviti yang dirangka itu diharap dapat menzahirkan semangat patriotik, kasih sayang terhadap tanah air dan memberi keinsafan terhadap anugerah kemerdekaan yang dimiliki.

"Bertemakan 'Sehatisejiwa’ untuk sambutan Hari Kebangsaan 2015 Malaysia ini sangat bertepatan dengan situasi dan suasana negara pada hari ini dan bersama-sama 'Sehatisejiwa' mengingati dan menghayati hari kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos nanti," katanya.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Noor Azizi turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan memasang Jalur Gemilang pada kenderaan universiti.

Tags: terkini