'SEMANIS BUBUR ASYURA SEERAT PERSAUDARAAN'

on . Posted in Komuniti

Oleh : Hal Ehwal Pelajar

PERSATUAN MAHASISWA PERLIS PEMAPs- NUZHATUL MAJALIS SEMANIS BUBUR ASYURA SEERAT PERSAUDARAAN

PERLIS - Bersempena awal Muharam, berlangsungnya program memasak bubur Asyura di Masjid Nur Al-Saadah, Kampung Banggol Sena, Mata Ayer, Perlis. Program ini melibatkan 50 mahasiswa Persatuan Mahasiswa Perlis (PEMAPs), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama penduduk setempat dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Perlis dan Komuniti 1Malaysia Perlis pada 11 oktober lalu.

Program bermula seawal 8.00 pagi di sebelah dataran masjid dan berakhir pada pukul 1.30petang dengan selesainya edaran bubur asyura kepada penduduk kampung. Satu kawah bubur Asyura daripada 3 kawah ditaja Unic Group. Dianggarkan sebanyak 200 bekas berisi bubur Asyura  dapat dihasilkan.

Suasana dimeriahkan lagi dengan kedatangan Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, Puan Asmaiza bt Ahmad yang merupakan ADUN Chuping dan bekas ADUN Chuping, Tuan Mansor b. Jusoh. Menariknya YB Asmaiza tidak kekok bersama rakyat malah turut sama menyiapkan bubur Asyura untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

"Penglibatan mahasiswa terutama mahasiswa yang berasal daripada Perlis yang kembali menyumbang bakti kepada rakyat di negeri Perlis adalah sesuatu yang mulia dan khidmat masyarakat ini wajar diteruskan lagi untuk memupuk ukhuwah antara mahasiswa dan masyarakat sekeliling," ujar YB Asmaiza.

Pengarah Program Cik Fazlin Izaty bt Mansor yang merupakan anak bekas ADUN Chuping menzahirkan rasa syukur kerana program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Beliau menyifatkan kejayaan program ini  kerana semangat yang wujud dalam kalangan mahasiswa serta kerjasama baik daripada penduduk Kampung Banggol Sena.

Di samping itu, Presiden PEMAPs, Mohamad Noor Farez, mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Perlis melalui ADUN Chuping atas kesudian menjayakan majlis ini. Beliau berharap kerjasama yang melibatkan tanggungjawab sosial hendaklah diberikan sokongan sewajarnya oleh pihak kerajaan negeri.

Tags: terkini