"Abad Ke-21 Bukan Abad Asia" — Mantan Duta Malaysia Ke Uzbekistan

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

Abad Ke-21 Bukan Abad Asia  Mantan Duta Malaysia Ke Uzbekistan

SINTOK - Sejak kebangkitan ekonomi Asia pada era 1990-an dan masalah ekonomi serta isu-isu lain yang menjejaskan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat, persoalan sama ada abad ke-21 adalah abad Asia menjadi satu topik perbincangan yang popular.

 

Peralihan kuasa yang bersejarah daripada Barat ke Timur masih berterusan, namun persoalan sama ada abad ke-21 ini adalah abad Asia masih kekal.

 

Pandangan mengenai persoalan itu dikongsikan mantan Duta Malaysia ke Uzbekistan, Dato' Mohamed Redzuan Mohamed Kushairi sempena Ceramah Prof Adjung bertajuk "The Rise of Asia in the 21st Century — Its Geopolitical, Geostrategic & Geoeconomic Dimensions: A Personal Perspective," anjuran Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) di Auditorium SoIS.

 

Menurut beliau terdapat pihak yang amat yakin bahawa abad ke-21 merupakan abad Asia namun ada pihak yang mempertikaikan pendapat berkenaan dan mengatakan walaupun berlakunya peralihan kuasa dari Barat ke Timur, ianya tidak akan menjadi abad Asia dan mereka percaya bahawa AS dan Barat akan kekal kuat walaupun tidak lagi mendominasi dunia dan AS semakin hilang pengaruh.

 

"Sebaliknya akan muncul Multi-Hub dan Multi-Perkongsian di dalam Sistem Antarabangsa dengan kebangkitan mendadak negara-negara Asia terutama China dan juga India, Korea Selatan dan Indonesia."

 

"Kebangkitan serentak negara China dan India adalah satu peristiwa geo-politikal bersejarah — jarang sekali sistem global menyaksikan kemunculan dua kuasa besar secara serentak, dua buah negara dengan populasi terbesar di dunia (China 1.39 billion dan India 1.27 billion, kedua-duanya mewakili 36.41% keseluruhan penduduk dunia), mempunyai sejarah dan ketamadunan purba dan merupakan kuasa dominan dari segi geografi pada masa lalu," katanya.

 

Tambah beliau, sejak bermulanya abad ke-21, Barat dan AS mengalami masalah pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik yang serius, di kala peperangan AS di Iraq dan Afghanistan masih berterusan, Asia mengalami pertumbuhan yang pesat sejak 30 tahun lalu khususnya China, yang mempunyai purata pertumbuhan lebih 10% setiap tahun.

 

"Selain masalah itu, Barat juga mengalamai krisis kewangan pada tahun 2008-2009, krisis kewangan Greece, kebanjiran pelarian dari Afrika dan Timur Tengah dan Brexit yang memberi banyak tekanan kepada perpaduan Kesatuan Eropah. Perdebatan kempen Presiden AS yang kotor juga menunjukkan perpecahan serius di AS," ujarnya.

 

Walaubagaimanapun katanya, kebangkitan Asia dan peranannya yang semakin penting di dalam perdagangan, ekonomi, politik dan aspek lain dalam hubungan dunia akan membawa kepada ketegangan dan perubahan.

 

"Saya percaya akan berlakunya gabungan kerjasama dan persaingan yang kompleks dan di dalam proses mencapai keseimbangan ini, akan berlaku ketidapastian, malahan ketegangan. Persoalan yang menarik adalah bagaimana negara-negara lain di rantau ini terutamanya kuasa besar seperti China, India, Jepun dan Indonesia akan menyesuaikan diri dengan struktur kuasa yang berubah-ubah di dalam Sistem Antarabangsa," tambah beliau.

 

"Di sebalik pertumbuhan pesat ekonomi Asia, AS masih mendominasi dari segi bajet ketenteraan, bahagian pasaran global modal teroka iaitu sebanyak 70%, penggunaan sosial media sebanyak 60%, perbelanjaan di dalam penyelidikan dan pembangunan sebanyak 25% serta mempunyai banyak kerjasama dan sekutu di Asia Pasifik menerusi Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA)."

 

"Sementara Asia mengalami masalah jurang perbezaan yang semakin ketara antara golongan kaya dan miskin, pencemaran alam sekitar, buruh asing, penyeludupan manusia, rasuah dan tadbir urus," jelasnya.

 

Justeru beliau menyimpulkan walaupun abad ke-21 bukan abad Asia, dunia akan terus menyaksikan peralihan kuasa dari Barat ke Timur, kebangkitan Asia dan pengakhiran dominasi AS dan Barat.

 

"Walaupun abad ke-21 bukan abad Asia, kita akan menyaksikan kemunculan Sistem Antarabangsa Multi Hub dan Multi Kerjasama dengan Asia berkongsi pentas dengan AS dan Barat.

 

Ia akan menjadi interaksi kompleks dari segi sumber kumpulan Multi Hub dan Multi Kerjasama yang dipimpin AS, dari satu aspek lagi kumpulan Multi Hub dan Multi Kerjasama pimpinan China dengan sokongan dan kerjasama Rusia yang akan membentuk Sistem Antarabangsa abad ke 21."

 

"Kita akan menyaksikan satu proses dan tindakan yang menarik meskipun kompleks di dalam Sistem Antarabangsa yang baru muncul selepas sistem Uni-Polar Dunia (Uni-polar World) pimpinan AS.

 

Hadir sama Penolong Naib Canselor UUM COLGIS dan Dekan SoIS,  Prof. Madya Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani; Timbalan Dekan SoIS, Dr Mohammad Zaki Ahmad; Ketua Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa SoIS, Dr Bakri Mat; para pensyarah, pegawai-pegawai kanan dan pelajar-pelajar UUM.

 

Tags: terkini