"Para Pemburu Masa Depan" — Kisah Perjuangan Mengubah Masa Hadapan Generasi Muda Indonesia

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh : Muhammad Shamsul Shafie

Para Pemburu Masa Depan  Kisah Perjuangan Mengubah Masa Hadapan Generasi Muda Indonesia

 

SINTOK - Bagi Surya Burhanudin ataupun Pak Surya, pendidikan harus diperjuangkan bagi memastikan setiap anak bangsa mendapat kemudahan pendidikan terbaik agar mereka menjadi generasi yang mempunyai masa hadapan yang cerah.

 

Baginya, belajar di luar negara adalah kewajiban bukan kerana pendidikan di dalam negara tidak sebaik di luar negara, tetapi generasi muda harus memiliki kesempatan untuk bertemu dengan mahasiswa dari pelbagai bangsa agar mereka mampu bersaing di peringkat global.

 

Berbekal tekad tersebut, setelah bersara dari perusahaan Badan usaha milik negara (BUMN) ternama di Indonesia, Pak Surya menubuhkan Yayasan Sriwijaya yang berperanan membantu anak-anak Indonesia untuk menyambung pengajian ke luar Indonesia.

 

Memoir mengenai perjuangannya itu dipaparkan di dalam buku karya beliau, “Para Pemburu Masa Depan” yang menceritakan tentang usahanya membawa ratusan pelajar Indonesia untuk belajar ke luar negara khususnya di Malaysia termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Buku tersebut bukan sahaja menceritakan mengenai kejayaan mahasiswa Indonesia yang telah berjaya mengubah masa hadapan mereka, tetapi juga perjuangan, peluang, halangan dan jalan keluar mendapatkan kesempatan belajar di luar negara.

 

Bagi memberi peluang pembaca membuat penilaian dan mendengar ulasan mengenai buku tersebut, UUM Press telah menganjurkan sesi bedah buku “Para Pemburu Masa Depan” bertempat di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen yang turut dihadiri Pak Surya sendiri.

 

Selain Pak Surya, sesi bedah buku itu turut disertai Dekan PPA COB, Dr Hendrik Lamsali dan dikendalikan oleh Pengarah Unit Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar Antarabangsa (ISSSU), Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah. 

         

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

 

Menurut Naib Canselor buku tersebut adalah satu usaha yang sangat besar maknanya kerana ia memberikan inspirasi kepada pelajar Indonesia untuk meluaskan perjalanan mencari ilmu di negara luar seperti Malaysia khususnya di UUM.

 

"Diharapkan menerusi kisah-kisah menarik yang terkandung di dalam buku ini, lebih ramai lagi generasi muda dapat mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya dalam mengubah masa hadapan masing-masing," ujarnya.

 

Hadir sama Pengarah UUM Press, Prof Madya Dr Ram Al Jaffri Saad dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

Tags: terkini