Santai Lensa II Tingkat Kefahaman dan Kemahiran Peminat Fotografi 'Human Interest'

on . Posted in Komuniti

Oleh: Seksyen Media

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

Santai Lensa II Tingkat Kefahaman dan Kemahiran Peminat Fotografi Human Interest

SINTOK - Sambil mempromosikan UUM sempena Discover UUM 2016, seramai 140 peserta Bengkel Santai Lensa II berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bergambar khususnya fotografi 'human interest'sepanjang bengkel diadakan selama sehari.

 

Bengkel anjuran Pusat Pengajian Seni Persembahan dan Industri Kreatif (SCIMPA) dan Jabatan Canselori dengan kerjasama Nikon Malaysia dan Toffee Shack@Varsity Mall itu berjaya menghimpunkan peminat fotografi tanah air termasuk jurugambar profesional dan amatur seluruh negara.

 

Program tersebut bukan sahaja mempromosikan keindahan UUM sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Kedah kepada peserta dari UUM dan luar, malah peserta juga didedahkan tentang teknik fotografi landskap dan diberikan penerangan tentang teknik fotografi 'human interest' serta penganjuran pertandingan fotografi.

 

Selain itu, Santai Lensa II juga menyediakan platform kepada ahli akademik, pelajar, staf UUM dan orang luar untuk berkongsi maklumat terkini tentang fotografi dengan pakar fotografi dari dalam dan luar UUM.

 

Sepanjang bengkel itu, peserta ditugaskan mengambil gambar di sekitar kampus UUM, diikuti ceramah daripada Pengarang buku Lantang Nepal, Helmi Osman; Pengurus Kanan Nikon Malaysia, Mahfooz Rasool dan pensyarah, Prof Madya Dr Adzrool Idzwan Ismail dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi (SMMTC) UUM.

 

Peserta bukan sekadar menambah pengetahuan dan kemahiran fotografi, malah berpeluang menyertai pertandingan gambar bagi kategori Discover UUM dan Human Interest.

 

Tags: terkini