Syarahan Felo Adjung NCRC Kupas Isu Mobiliti Sosial Rakyat Malaysia

on . Posted in Komuniti

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

Syarahan Felo Adjung NCRC Kupas Isu Mobiliti Sosial Rakyat Malaysia

SINTOK - Dengan tajuk 'Adakah Keturunan Itu Penting?': Satu Kajian Mobiliti Sosial Di Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid, Pengarah Penyelidikan, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang juga Felo Adjung Pusat Penyelidikan Koridor Utara (NCRC) telah mengupas isu mobiliti sosial rakyat Malaysia.

 

Ujar beliau, mobiliti sosial adalah mengenai penyebaran peluang dan insentif yang mana ia adalah peluang yang diberikan kepada status sosial seseorang untuk menaikkan taraf diri daripada tahap yang rendah ke aras yang lebih baik.

 

"Kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira kaum, agama, keturunan, tempat lahir dan jantina perlu diberi peluang yang sama dalam kehidupan mereka.

 

"Perubahan status dari kelas sosial rendah kepada lebih tinggi (upward mobility) adalah perlu kerana ia bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan ketidaksamaan, tetapi ia adalah penting dalam memastikan kestabilan dan perpaduan sosial untuk generasi seterusnya," katanya pada Syarahan Felo Adjung NCRC di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen.

 

Dr Muhammed berkata, kajian itu bertujuan untuk menyumbang kepada meningkatkan pemahaman kesan kemakmuran ekonomi ke atas kesejahteraan negara dari aspek kesaksamaan peluang dan mobiliti atau rakyat.

 

Tambahnya, hasil kajian juga mendapati terdapat beberapa bentuk 'middle class squeeze' telah berlaku, justeru lebih banyak penekanan perlu diberi kepada golongan berpendapatan sederhana tanpa mengabaikan mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah dan kemiskinan yang masih berterusan.

 

Menurut beliau lagi, dasar-dasar pembangunan inklusif seperti yang digariskan dalam strategi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) adalah satu langkah yang betul ke arah meletakkan kesaksamaan kepada rakyat Malaysia.

 

Hadir sama Timbalan Pengarah NCRC, Prof Madya Dr Norehan Abdullah dan Tan Sri Dato’ Dr Kamal Mat Salih, penyelidik bersama kajian Dr Muhammed Abdul Khalid.

 

Tags: terkini