38 Peserta Sertai Program Pemantapan Budaya Keusahawanan Anjuran NCRC

on . Posted in Komuniti

Oleh: NCRC

USAHAWAN

SINTOK - Seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat dan usahawan kecil-kecilan Desa Keda Kg. Bukit telah menghadiri Program Pemantapan Budaya Keusahawanan anjuran Northern Corridor Research Centre (NCRC) Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mini RTC Bukit Lada, Pokok Sena baru-baru ini.

Program yang dijalankan di bawah Program 3 Kolej 3 Daerah (3K3D) NCRC ini merupakan salah satu pengisian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara NCRC dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

 

Objektif utama program ini adalah untuk memberi motivasi serta memantapkan budaya dan nilai-nilai keusahawanan kepada masyarakat serta memberikan penerapan berkaitan strategi berniaga sebagai panduan dalam perniagaan.

 

Selain itu program ini juga adalah untuk membantu dalam melaksanakan kaedah pemasaran yang lebih baik terhadap produk perniagaan yang dijalankan.

 

Puan Syahrina Abdullah dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah dijemput untuk bersama-sama berkongsi ilmu mengenai motivasi niaga ke arah pemantapan bisnes yang mampan dan pemasaran melalui internet .

 

Manakala Dr. Nur Syakiran Akmal dan Dr. Kalthum Hj. Hassan dari Pusat Pengajian Kerajaan  (SOG) menyampaikan mengenai pengurusan kewangan khususnya simpan kira.

 

Salah seorang peserta, Puan Siti Rahmah Saad yang juga usahawan kuih tradisional berkata beliau amat tertarik dengan program ini dan berharap akan ada lebih banyak program seperti itu pada masa akan datang.

 

"Program seperti ini amat baik untuk menambah ilmu dan boleh dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan," ujarnya.

 

Turut hadir ke program itu adalah Timbalan Pengarah NCRC, Prof. Madya Dr. Norehan Abdullah, serta  Pengurus Mini RTC Bukit Lada, Puan Diana Elyza Zakaria.

 

Tags: terkini