Seminar Antarabangsa Semarak Aktiviti Penyelidikan Dalam Pendidikan Dua Negara

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

Seminar Antarabangsa Semarak Aktiviti Penyelidikan Dalam Pendidikan Dua Negara

SINTOK - Bagi menyemarakkan aktiviti penyelidikan dalam bidang pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML) buat julung kali bekerjasama dengan Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA), Indonesia menganjurkan Seminar Antarabangsa UUM-UMSIDA 2016 bertemakan "Generating Knowledge Through Research."

 

Seminar ini bertujuan memupuk budaya penyelidikan dan perkongsian ilmu inovasi dalam pendidikan di samping menyediakan platform ideal untuk para penyelidik dan pengamal untuk berdialog bersama-sama dan membentangkan penyelidikan dan inovasi terbaru.

 

Perasmian seminar ini disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak di Dewan Seminar, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC).

 

Naib Canselor berkata seminar itu adalah platform untuk para peserta yang yang kebanyakannya adalah pelajar-pelajar pascasiswazah untuk mengetengahkan kertas-kertas penyelidikan masing-masing.

 

"Seminar ini memberi peluang para peserta untuk mengetahui kajian-kajian terkini yang sedang dijalankan di dalam pelbagai bidang kajian dan membuat penilaian terhadap kajian-kajian yang dibentangkan."

 

"Dapatan daripada kajian ini juga akan diterbitkan yang mana ianya dapat memberi manfaat kepada kelompok yang lebih luas khususnya penggubal dasar dan pemerintah dalam menangani pelbagai masalah dan isu yang sedang dihadapi," ujarnya.

 

Sementara itu, menurut Rektor UMSIDA, Dr Hidayatullah, penganjuran seminar itu adalah salah satu daripada aktiviti kerjasama hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang terjalin di antara UUM dan UMSIDA.

 

"Selain penganjuran seminar seperti ini, kita juga akan melanjutkan kerjasama di bidang penerbitan jurnal dan penyelidikan bersama. Kerjasama ini diharap dapat menambah kahazanah ilmu dan pengenalan budaya antara negara dalam membangunkan iklim akademik yang positif," katanya.

 

Dekan SEML, Prof Madya Dr Yahya Don pula berkata kertas kerja seminar ini akan diterbitkan dalam bentuk buku di UUM dan UMSIDA yang akan memberi impak kepada pembangunan insan dan pendidikan kedua-dua buah negara.

 

Seminar tiga hari yang bermula dari 25 Oktober ini disertai kira-kira 200 peserta dan melibatkan pembentangan 150 kertas kerja meliputi pelbagai topik.

 

Antara pengisian sepanjang seminar ini ialah sesi selari, sesi ucap utama dan bengkel penulisan untuk jurnal berindeks.

 

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Penolong Naib Canselor UUMCAS, Prof. Dr. Norshuhada Shiratuddin; Pengerusi Seminar Antarabangsa UUM-UMSIDA 2016,  Prof Madya Dato’ Dr Hajah Nuraini Yusoff dan pegawai-pegawai kanan universiti.

 

Tags: terkini