Staf Naik Pangkat Harus Serlahkan Kecemerlangan Dan Kepimpinan Diri

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

Staf Naik Pangkat Harus Serlahkan Kecemerlangan Dan Kepimpinan Diri

SINTOK - Staf akademik dan pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dinaikkan pangkat harus menyerlahkan kecemerlangan dan aspek kepimpinan masing-masing sekali gus menjadi contoh teladan kepada staf-staf lain.

 

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata bagi staf akademik, kenaikan pangkat bermakna mereka  telah meningkat tahap keilmuannya ke tahap lebih tinggi justeru mereka perlu menyerlahkan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik masing-masing.

 

"Kenaikan pangkat harus disusuli dengan prestasi yang semakin meningkat bukannya semakin merosot. Kenaikan pangkat tidak bererti staf itu tidak perlu bekerja kuat lagi dan masa untuk mereka berehat kerana berpandangan sudah mencapai apa yang dimahukan."

 

"Sebaliknya mereka perlu memperlihatkan aspek kesarjanaan dan kepimpinan akademik yang tinggi agar dihormati dan disegani oleh orang lain sehingga boleh diangkat menjadi ketua di organisasi masing-masing," ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik dan Pentadbiran di EDC Hotels & Resorts.

 

Manakala bagi staf pentadbiran yang dinaikkan pangkat ujar beliau, kenaikan ke jawatan yang lebih tinggi bererti staf itu bukan sahaja harus mempunyai tahap kompetensi yang tinggi dalam hal ehwal pentadbiran tetapi harus juga memperlihat kemampuan untuk menjadi pemimpin.

 

"Staf pentadbiran yang dinaikkan pangkat perlu meneruskan dan meningkatkan prestasi kerja yang cemerlang dan mempunyai kebolehan untuk menjadi pemimpin di jabatan masing-masing selain membuktikan mereka layak menerima pengiktirafan tersebut,” katanya

 

Tambah Naib Canselor para pentadbir juga perlu menjaga imej dan reputasi baik sama ada di dalam atau di luar kampus kerana mereka membawa nama organisasi tempat kerja masing-masing.

 

Beliau  juga berharap semua staf yang dinaikkan pangkat dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan baik agar memberi manfaat kepada Universiti.

 

Dalam majlis itu seramai 26 staf akademik dan pentadbiran telah menerima watikah kenaikan pangkat yang disampaikan oleh Naib Canselor.

 

Daripada jumlah tersebut, tiga merupakan staf akademik di mana dua dinaikkan pangkat ke jawatan Pensyarah Kanan (DS52) dan seorang Profesor Madya (DS54) manakala 23 staf pentadbiran menerima kenaikan pangkat daripada gred 44 hingga 52.

 

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hassan Ali; Pendaftar, Mohamad Akhir Haji Yusuf; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan Universiti.

 

Tags: terkini