Tan Sri Apandi Ali Dilantik Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang UUM

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

Tan Sri Apandi Ali Dilantik Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang UUM

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Sri Haji Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkuatkuasa 1 September 2016 sehingga 31 Ogos 2018.

 

Penyampaian watikah pelantikan Profesor Adjung itu disempurnakan Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak pada Majlis Hi-Tea yang diadakan bagi meraikan pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Profesor Adjung SoL dan juga meraikan alumni-alumni undang-undang UUM di Hotel Premiera.

 

Naib Canselor, berkata pelantikan Tan Sri Apandi Ali amat besar maknanya dan menambah kekuatan kepada SoL yang telah melahirkan kira-kira 736 alumni undang-undang.

 

Serentak dengan penyampaian watikah pelantikan itu juga, Tan Sri Apandi menyampaikan syarahan sulungnya sebagai Profesor Adjung SoL bertajuk "Cabaran, Masa Depan dan Harapan Sektor Perundangan di Malaysia di Era Globalisasi."

 

Syarahan beliau menyentuh mengenai  dunia perundangan yang semakin mencabar terutama pada era globalisasi dunia tanpa sempadan dan kewujudan media sosial.

 

"Kewujudan isu undang-undang yang baru dan rumit ini semestinya menuntut kefahaman undang-undang dan kemahiran yang mendalam.

 

Persoalannya kini adalah, bukan lagi berapa bilangan graduan undang-undang yang kita lahirkan dan berapa ramai pengamal undang-undang yang berdaftar saban tahun semata-mata tetapi berapa ramai di kalangan mereka yang mampu memahami dan meneliti dengan baik isu-isu kompleks sebegini," ujarnya.

 

Menurutnya lagi fakulti undang-undang di Malaysia kini bukan sahaja berperanan untuk melahirkan graduan yang lulus subjek undang-undang semata-mata tetapi perlulah juga menjadi hub untuk mempersiapkan graduan-graduan dengan perisai yang sewajarnya agar mereka dapat menghadapi pukulan gelombang globalisasi dengan tenang dan cemerlang.

 

"Pihak fakulti dan para pendidik perlu lebih kreatif dalam merangka program yang mengandungi elemen-elemen pembelajaran yang diperlukan dan menepati kehendak pasaran semasa di samping mendapat input dan pandangan dari wakil-wakil industri sewajarnya."

 

"Cabaran perundangan seperti kewangan dan perdagangan antarabangsa, perbankan Islam, jenayah siber, harta intelek dan timbang tara (arbitration) adalah antara cabang perundangan yang perlu diberi perhatian."

 

"Elemen latihan kemahiran advokasi, legal writing dan critical thinking juga tidak boleh dilihat sebagai subjek pilihan umum sahaja. Sebaliknya ia perlu diterapkan di dalam rangka pembelajaran pelajar undang-undang," jelasnya

 

Kemahiran-kemahiran itu tambahnya adalah bagi memastikan graduan-graduan dilengkapkan dengan necessary skillset yang diperlukan untuk berdepan dengan persekitaran perundangan yang kompetitif yang sarat dengan isu-isu yang kompleks yang akan menunggu mereka sejurus melangkah keluar dari alam pengajian universiti.

 

Pada majlis itu juga Tan Sri Apandi Ali melancarkan penubuhan Persatuan Alumni Undang-Undang UUM.

 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Rahman Putra Dato' Haji Taha; Pengarah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Haslina Mansor; Dekan SoL UUM, Dr Zainal Amin Ayub; Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Ashgar Ali Ali Mohamed; Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Zuhairah Ariff Abd Ghadas; Timbalan Presiden Persatuan Alumni UUM, Prof Madya Dr. Mohd Amy Azhar Hj Mohd Harif; pensyarah-pensyarah SoL, pegawai-pegawai UUM dan alumni undang-undang UUM.

 

Tags: terkini