Pesanan CEO Buat Graduan - Berfikir Analitikal Dan Kritikal

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

Pesanan CEO Buat Graduan - Berfikir Analitikal Dan Kritikal

SINTOK - “Ijazah bukan jaminan untuk dapat kerja ilmu sahaja tidak cukup sebaliknya syarikat memerlukan staf yang berfikir secara analitikal dan kritikal, ada nilai, memiliki kemahiran komunikasi, karakter positif, agresif dan bijak merebut peluang.

 

Improve yourself, jangan malu bertanya, tanya kalau tak tahu, kuasai pelbagai bahasa seperti Mandarin, English, Arab, mempunyai mentor, seimbangkan hidup dari segi sosial dengan masyarakat, penuhi tuntutan agama dan enjoy your life.”

 

Itu antara pesanan Presiden PIKOM, Shaifubahrim Mohd Saleh ketika menjayakan Global Forum Industri 2016: Business Survivability In The Volatile Environments anjuran Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM, di Pusat Konvensyen.

 

Tegasnya, usah jadikan keadaan semasa, ekonomi, politik sebagai alasan tidak dapat kerja kerana bila kita mula menyalahkan dunia maka kita tidak dapat survive dalam dunia.

 

“Biar apapun senario politik, ekonomi dan global yang berlaku jangan bimbang tentang statistik tetapi fikirkan diri kamu persiapkan diri itu yang lebih utama. apa yang kita boleh lakukan kawal diri dan hala tuju yang jelas.

 

Menyoroti kisah hidupnya, beliau terbabit dalam perniagaan bermula sejak di bangku sekolah pada 1976 dengan membeli sebuah gerai burger berharga RM600 demi memenuhi minat berniaga.

 

“Setiap hari sekitar jam 4 petang saya bersama dua rakan menjual burger dengan pendapatan bulanan RM1,000 dan pada ketika itu jumlah itu cukup besar menjadikan hidup lebih selesa dan boleh dapat apa yang saya nak.

 

“Setelah graduate pada 1983 ketika berumur 27 tahun saya memasang impian untuk menjadi jutawan ketika umur 30 tahun, set benchmark higher saya psiko diri untuk berjaya,” ceritanya.

 

Ucapnya, Malaysia maju dalam sektor perkilangan namun dalam era telekomunikasi, industri perkhidmatan semakin berkembang seperti pelancongan, perbankan, kewangan, minyak dan gas serta logistik.

 

Justeru katanya, mahasiswa perlu peka trend semasa untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja selain memberi galakan pada diri, ambitious, dan memanfaatkan pengalaman menjalani latihan industri sebagai langkah mempersiapkan diri menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

 

“Bekerja bukan semata-mata makan gaji tetapi mempunyai pendapatan lain seperti saham, hartanah dan perniagaan strategik kerana kita berhak memilih gaya hidup yang diidamkan. 

 

“Memang rezeki telah ditentukan Allah justeru kita perlu berusaha mendapatkannya jika tidak dia akan terpendam menjadi treasured jadi tentukan apa yang kita nak capai sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi.

 

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah UUM memberi tiga jaminan untuk terus berjaya antaranya menyesuaikan perubahan yang berlaku dengan beritahu pada staf dan organisasi bahawa  perubahan berlaku dengan pantas justeru kita kena belajar mendepaninya.

 

“Kedua, tetapkan jangkaan, tidak kira bagaimana kita merancang masalah dan perubahan tetap akan berlaku dan ketiga, akauntabiliti iaitu bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan bukannya menunding jari pada orang lain.

 

“Apa yang kita buat mesti bertambah baik dari masa ke masa dengan menitikberatkan pembelajaran sepanjang hayat sekalipun umur sudah 60 tahun,” ucapnya.

 

Beliau turut memberi tips CPR iaitu communicationproductivity and resistance menjelaskan tentang komunikasi misalnya menghantar emel jangan sekali hantar hanya menunggu dan berputus asa kerana komunikasi berkesan minimum 8 kali.

 

Tambahnya, produktiviti ditentukan ketika menghantar barangan pada masa, bilangan, kualiti, kepuasan yang tepat dan ketiga bagaimana kita bereaksi apabila berdepan dengan halangan. 

 

“Tiga faktor utama untuk berjaya iaitu idea yang baik, nilai dan 3E (Emotional, Energetic, Edge) dan jika digabungkan kita akan berjaya dengan lebih cemerlang,” kongsinya di hadapan kira-kira 220 mahasiswa dan staf UUM.

 

Forum yang turut dibarisi Pengarah MyPEC. Sdn. Bhd., Matsham Ahmad dan Dr. Abdul Shukor Shamsudin sebagai moderator, bertujuan untuk melibatkan industri dalam perkongsian pengalaman yang memberi pendedahan mengenai isu semasa dalam dunia pekerjaan, menambah ilmu serta kemahiran insaniah. 

 

Program ini merupakan agenda tahunan yang melibatkan sumbangan ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM selain mengukuhkan lagi hubungan akademia-industri.  

 

Tags: terkini