Projek PKeM Penyelidik UUM Terima Pengiktirafan 48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam

on . Posted in Komuniti

Oleh: Seksyen Media

Gambar oleh: SoC

Projek PKeM Penyelidik UUM Terima Pengiktirafan 48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam

KUALA LUMPUR - Projek penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mendapat pengiktirafan antara lima projek terbaik daripada 15 penyertaan bagi kategori Universiti Awam (UA) pada Pertandingan 48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam yang berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober lalu di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya, Selangor.

 

UUM yang diwakili Dr Azman Ta’a sebagai Ketua Pasukan bersama Prof Dr Zulkhari Md Dahalin, Prof Madya Fadzilah Siraj dari Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Dr Izwan Nizal Mohd Shaharanee dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif telah membentangkan projek bertajuk 'Perlombongan Data Kemalangan Jalan Raya di Malaysia' atau PKeM.

 

Dr Azman berkata, projek tersebut dihasilkan berasaskan kepada angka kematian di jalan raya yang terus meningkat walaupun 'Ops Sikap' dilaksanakan setiap tahun.

 

Menurutnya, walaupun slogan 'Kelajuan Itu Membunuh' secara meluas digunapakai tetapi ternyata ia tidak memberi ikhtibar kepada pemandu.

 

"Kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris mendapati, Malaysia berada di kedudukan paling teratas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

 

"Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun 2007, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda.

 

"Tahun lalu, sebanyak 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari berlaku di negara ini, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya," katanya.

 

Tambahnya, walaupun Kementerian Pengangkutan Malaysia melaksanakan sistem penguatkuasaan automatik yang melibatkan penggunaan kamera dalam usaha menambah baik dan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mudah berlaku kemalangan, namun usaha ini masih dilihat kurang berkesan kerana trend kemalangan masih meningkat saban tahun.

 

Sehubungan itu, kata beliau, projek yang dinamakan PKeM iaitu 'Perlombongan Data Kemalangan Jalan Raya Di Malaysia' telah dibangunkan untuk membuat analisis deskriptif tentang kematian akibat kemalangan  jalan raya, trend kemalangan, mengira indeks kematian dan membuat ramalan (prediction) kebarangkalian kemalangan yang akan berlaku di setiap negeri di Malaysia.

 

"Aplikasi PKEM dibangunkan dengan menggunakan perisian dan teknologi analitik data yang terkini (R, RStudio, dan Shiny) serta berupaya dicapai melalui pelayar web dan telefon bimbit.

 

"Maklumat daripada analisis data yang sebenar akan dapat memberi kesedaran dan amaran kepada pengguna agar lebih berhati-hati ketika memandu di jalan raya serta sentiasa ingat akan risiko kemalangan di kawasan-kawasan tertentu," katanya.

 

Projek tersebut disenaraikan antara lima projek terbaik dari 15 projek bagi kategori Universiti Awam dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa di Persidangan CIO Convex Sektor Awam, Kuala Lumpur.

 

Pertandingan 48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam itu disertai 38 kumpulan membabitkan 132 peserta yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu penjawat awam dan industri, Universiti Awam serta pelajar sekolah menengah.

 

Program anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu menawarkan hadiah pertama RM10,000; kedua RM7,500; ketiga RM5,000 dan hadiah saguhati bagi kategori penjawat awam dan industri serta UA, manakala RM3,000 bagi pemenang tempat pertama kategori sekolah menengah; kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000 serta saguhati.

 

Pertandingan tersebut bertujuan menggalakkan pembangunan aplikasi atau produk berasaskan data terbuka dan bersifat analitik yang mana ia turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), GITN Sdn Bhd (GSB) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

 

 

 

Tags: terkini