Ibu Bapa Dan Guru Perlu Fahami Proses Perkembangan Kanak-Kanak

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

tadika

SINTOK - Setiap ibu bapa dan guru perlu sedar bahawa kanak-kanak merupakan individu unik dan tahap perkembangan mental dan fizikal masing-masing adalah berbeza sama sekali walaupun mereka mempunyai pertalian saudara.

 

Pengerusi Lembaga Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Puteri Intan Safinaz (PPKTPIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Datin Seri Norhayati Nazri berkata ibu bapa dan guru perlu mengenali dan memahami proses perkembangan kanak-kanak tersebut dan mempunyai kesabaran yang tinggi apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai perkembangan mental dan fizikal yang berbeza.

 

"Perlu difahami bahawa tingkah laku kanak-kanak walaupun mempunyai pertalian persaudaraan adalah berbeza. Perkembangan mental dan fizikal anak sulung mungkin tidak sama dengan anak kedua, ketiga dan seterusnya. 

 

"Memberi gelaran negatif dan menuding jari menyalahkan anak-anak yang dianggap bermasalah ini sudah pasti akan merencatkan keyakinan diri mereka. Justeru proses perkembangan ini harus difahami oleh para ibu bapa dan guru," ujarnya pada Majlis Konvokesyen Tadika PPKTPIS kali ke-24 dan Hari Anugerah Cemerlang 2016 di PPKTPIS.

 

Tambah beliau pelbagai aktiviti telah disusun PPKTPIS bagi melahirkan anak-anak yang sihat, bijak dan berakhlak mulia.

 

"Untuk mencapai hasrat tersebut PPKTPIS menyediakan silibus yang menepati kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia, melatih membaca al-Quran, menitikberatkan sahsiah dan keperibadian serta berlemah lembut dalam tutur kata," katanya.

 

Beliau turut berharap ibu bapa dan guru dapat memantau pengaruh media dan ledakan maklumat yang boleh dicapai dihujung jari pada hari ini yang dikhuatiri akan merosakkan sahsiah kanak-kanak sekiranya tidak dikawal.

 

Pada majlis itu, seramai 25 graduan cilik yang telah tamat pengajian pra-sekolah menerima sijil masing-masing yang disampaikan Datin Seri Norhayati.

 

Selain itu, beliau turut menyampaikan pelbagai Anugerah kepada 45 kanak-kanak yang cemerlang, antaranya Anugerah Pencapaian Bacaan Terbaik, Anugerah Bijak Matematik Terbaik dan Anugerah Peningkatan Diri & Sahsiah Diri Terbaik.

 

Tags: terkini