STHEM Ulangi Kejayaan Catat Nama Dalam Malaysia Book Of Records

on . Posted in Komuniti

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

STHEM Ulangi Kejayaan Catat Nama Dalam Malaysia Book Of Records

SINTOK - UUM menerusi Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) berjaya memecahkan rekod 48 Hours Non-Stop 'Cucur Peneram' Making dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

 

Kejayaan tersebut telah disahkan oleh wakil MBOR, Nurasyikin Ramli dengan disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Dato' Ahmad Zaini Japar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim di Restoran D'Hospitality.

 

Dekan STHEM, Prof Madya Dr Basri Rashid berkata, kejayaan tersebut merupakan kali kedua yang pernah diperoleh STHEM selepas berjaya menghasilkan roti jala selama 72 jam tanpa henti pada 2012.

 

Katanya, seramai 385 pelajar UUM telah bergilir menghasilkan cucur peneram bagi tempoh 48 jam tanpa henti mulai 21 November lalu pada jam 3 petang dan berakhir 3.30 petang.

 

"Kita memilih untuk memecahkan rekod ini dengan menghasilkan cucur peneram kerana ingin mempromosikan kuih tradisional negeri Kedah kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga luar negara.

 

"Projek ini juga adalah selaras dengan program Discover UUM 2016 dan juga Tahun Melawat Kedah 2016," katanya.

 

Pengarah projek, Mohamad Shah Kamal Ideris berkata, bagi menghasilkan cucur peneram itu, mereka menggunakan 50 kilogram (kg) tepung beras, 7.5 kg gula,30 kg gula merah dan 17 liter air dengan menelan kos RM2,500.

 

Menurutnya, sepanjang tempoh 48 jam itu, mereka telah menghasilkan sebanyak 9,500 biji cucur peneram.

 

"Bagi menjayakan projek ini yang sudah dirancang sejak setahun lalu, kita telah membahagikan seramai lima pelajar dalam setiap sesi selama 30 minit secara bergilir untuk menghasilkan cucur peneram.

 

"Saya berharap dengan satu lagi kejayaan ini bukan sahaja melonjak nama UUM, malah mempromosikan program-program di STHEM sendiri," ujarnya.

 

Sementara itu, peserta, Nursyafika Zulkifli berkata, dia mengambil tugas mengikut giliran mulai jam 12 tengah malam hingga 1 pagi untuk menghasilkan cucur peneram itu.

 

Katanya, tidak dinafikan rasa penat dan mengantuk tetapi demi tanggungjawab, dia tetap bertahan meneruskan misi tersebut yang sudah sekian lama dirancang.

 

"Ini satu cabaran dan pengalaman baru yang diterima kerana selama ini saya hanya pernah makan tetapi tidak tahu proses pembuatan cucur peneram.

 

"Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat termasuk Dekan, pensyarah dan rakan-rakan yang memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada kami semua," kata pelajar Semester Lima itu.

 

Tags: terkini