Bacabot Rangkul Emas Di PERINTIS 2016

on . Posted in Komuniti

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Bacabot Rangkul Emas Di PERINTIS 2016

PUTRAJAYA - Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkul pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Institusi Pengajian Tinggi Swasta 2016 (PERINTIS) 2016berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Putrajaya.

UUM diwakili penyelidik dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) yang diketuai Prof. Dr. Zulikha Jamaludin bersama Dr. Husniza Husni, Dr. Mustafa Alobaedy dan Dr. Azizi Aziz.

 

“Persaingan sengit cukup mendebarkan kerana universiti lain membawa banyak produk sedangkan kami hanya membawa tiga produk iaitu BacabotWrite–Rite dan Autism Social Aid.  Syukur, ketiga-tiga produk mendapat perhatian juri dan berjaya memperoleh anugerah masing-masing,” luahnya.  

 

Kegembiraan berganda apabila Bacabot menerima Special Award daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS), iaitu anugerah yang dipilih dari kalangan penerima pingat emas.

 

Menurutnya, Bacabot adalah satu aplikasi untuk membantu kanak-kanak (kanak-kanak normal dan disleksia) membaca dengan betul malah meningkatkan keupayaan mengira, belajar Bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik melalui cara yang boleh disesuaikan mengikut keupayaan murid.

 

Jelasnya, antara elemen yang menarik hati juri ialah result proven apabila aplikasi ini telah dilaksanakan ke atas pelajar sekolah dan berjaya menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

 

“Kami menggunakan robot untuk menarik minat pelajar untuk belajar dengan cara lebih mudah.

 

Walaupun begitu mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan robot, laptop, atau tablet (multiplatform).

 

“Uniknya aplikasi ini ialah ia sangat fleksibel. Pangkalan datanya boleh capai dan disesuaikan (customisable) oleh guru dan ibu bapa seperti kemaskini data, menambah data, ayat dan frasa selain mempunyai ciri untuk membantu murid membaca, mendengar dan merakam jawapan” ulasnya.

 

Tambahnya, idea tercetus setelah melakukan kajian sejak 2007 dengan menghasilkan framework untuk membantu murid-murid sehingga terhasil beberapa prototaip seperti BacaMax, ARBaca, Mybaca, dan BacaDisleksia yang sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

 

Dalam pada itu Zulikha turut merangkul satu lagi pingat emas menerusi Autism Social Aid yang diusahakan bersama penyelidik Universiti Teknologi Petronas (UTP).

 

Produk Write-rite, yang dibangunkan bersama Safinar Rahim pula telah memperoleh pingat gangsa. Hadiah disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

 

Pertandingan yang dianjurkan oleh Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan   Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia merupakan platform terbaik kepada penyelidik beraksi mempamerkan hasil ciptaan teknologi sains yang menarik perhatian pengeluar, pencipta dan syarikat.

 

Tags: terkini