APRC 2016 Kukuhkan Hubungan, Luaskan Rangkaian Kerjasama Mahasiswa Universiti ASEAN

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: IPRMSA-UUM Chapter

APRC 2016 Kukuhkan Hubungan Luaskan Rangkaian Kerjasama Mahasiswa Universiti ASEAN

SINTOK - Institute of Public Relation Malaysia Student Association, UUM Chapter (IPRMSA-UUM Chapter) dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni (PPA) College of Arts and Sciences (CAS) telah berjaya menganjurkan ASEAN University Conference on Public Relations and Communication (APRC 2016) bertempat di EDC Hotels & Resorts baru-baru ini.

 

Bertemakan "One Vision, One Identity, One Community: Nurturing Network Public Relations in the ASEAN Community," persidangan ini bertujuan menyediakan platform multinasional di mana isu-isu yang berkaitan bidang perhubungan awam dan komunikasi dibentang dan dibincangkan selain meningkatkan pengetahuan tentang isu komunikasi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

 

Perasmian APRC 2016 disempurnakan oleh Timbalan Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), Jaffri Amin Osman yang juga tetamu utama persidangan sementara Dr. Elizabeth Goenawan Ananto, pensyarah dan pengamal perhubungan awam dari Trisakti University, Indonesia menyampaikan ucap utama pada persidangan ini.

 

Jaffri dalam ucapan perasmiannya berkata generasi muda hari ini yang lebih berpendidikan dan celik teknologi berada dalam kedudukan yang baik untuk merangsang komitmen yang kuat kepada rakan-rakan belia di dalam rangkaian negara-negara ASEAN.

 

"Justeru saya menggesa peserta dalam persidangan ini, terutama golongan belia untuk memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan menggalakkan pihak lain untuk mengambil bahagian dalam usaha perhubungan awam dan rangkaian kami.

 

Persidangan ini merupakan platform permulaan buat kita semua untuk menggalakkan kesalinghubungan," ujarnya.

 

Sementara itu, Dekan PPA CAS, Dr. Massudi Mahmudin berkata penyertaan luas semua pihak yang berkepentingan, terutama generasi muda memberi manfaat kepada kesalinghubungan dan rangkaian ASEAN.

 

"Menerusi persidangan ini, peserta berpeluang untuk membina rangkaian yang konstruktif dan berbincang mengenai perhubungan awam dan komunikasi. Adalah diharapkan persidangan ini akan menjana pemikiran intelek berharga dalam kalangan peserta dan menyediakan latar belakang yang bermakna untuk persidangan pada masa hadapan," katanya.

 

APRC 2016 mendapat penyertaan daripada 154 pembentang dan 59 peserta daripada 30 universiti di rantau ASEAN seperti Filipina, Kemboja, Thailand, Indonesia, Malaysia dan juga Australia.

Ahli IPRMSA-UUM Chapter, Jamuna Krishnan berkata persidangan itu merupakan antara pengalaman yang paling menarik dalam hidupnya.

 

"Persidangan ini memberi peluang kepada kami untuk bertemu dengan rakan-rakan dari negara ASEAN. Selain mendapat ramai kenalan baru dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja, saya juga dapat memahami budaya mereka," ujarnya.

 

Manakala bagi peserta dari Indonesia, Yanuar Kartika Sari persidangan itu merupakan platform yang baik terutamanya bagi meningkatkan hubungan dan komunikasi dengan mahasiswa dari universiti-universiti ASEAN.

 

"Persidangan ini sangat bagus, saya mendapat banyak pengalaman dan ilmu berharga untuk dibawa pulang di samping dapat mengukuhkan dan meluaskan lagi hubungan dan rangkaian kerjasama dengan mahasiswa-mahasiswa universiti di negara ASEAN," jelasnya.

 

Tags: terkini