Bengkel Jahitan Tarik Minat Pelajar UUM

on . Posted in Komuniti

Oleh : Pusat Budaya & Seni

Bengkel Jahitan Tarik Minat Pelajar UUM

SINTOK - Kemahiran dalam bidang jahitan bukanlah sukar untuk dipelajari. Ini kerana kemahiran ini perlu disertai dengan ilmu pengetahuan dan minat yang berterusan. Sejajar dengan minat tersebut pastinya hasil yang diperolehi akan lebih berkualiti dan menarik.

Atas dasar tersebut, Kelab Jahitan dan Masakan Pusat Budaya dan Seni (PBS) telah menganjurkan Bengkel Jahitan Brooch baru-baru ini bertempat di Dewan Budi Siswa.

Bengkel sehari itu adalah bertujuan untuk menarik minat generasi muda untuk memperkayakan bakat dan ilmu pengetahuan dalam bidang jahitan.

Selain itu juga, bengkel ini mendedahkan pelbagai teknik jahitan seperti kia, jelujur kasar, jelujur halus, sembat susup, insang pari, silang pangkah dan lilit ubi.

Seramai 30 peserta menyertai dalam bengkel tersebut yang dikendalikan oleh saudari Afifah Khadijah Anuar yang merupakan pelajar semester empat dalam jurusan keusahawanan dari Inasis TNB.

Beliau yang juga mempunyai bakat menjahit jubah dan baju kurung turut berkongsi menghasilkan tiga jenis brooch iaitu felt rose brooch, zip flower brooch dan satin flower brooch.

Menurut Siti Maherah Solehah Che Mahmood yang juga merupakan pengarah bengkel tersebut menegaskan bahawa bengkel ini akan menjadi perangsang kepada para peserta untuk menceburi bidang ini setelah tamat pengajian di UUM.

Menurut beliau lagi kemahiran ini jika di praktikan secara bersungguh-sungguh pastinya membuka peluang untuk menjana pendapatan yang lumayan, tambah beliau lagi.

Tags: terkini