UUM Bincang Jalin Kerjasama Dengan University of Toyama

on . Posted in Komuniti

Oleh: Seksyen Media

UUM Bincang Jalin Kerjasama Dengan University of Toyama

JEPUN - Kunjungan Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak ke negara matahari terbit ini diteruskan dengan lawatan ke University of Toyama. 

Lawatan Naib Canselor ke universiti tersebut adalah atas jemputan pihak pengurusan universiti itu bagi membincangkan aspek kerjasama yang boleh dilaksanakan antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan University of Toyama.

Perbincangan telah dihadiri oleh Prof Kazuyuki Nakamura, Dekan Fakulti Ekonomi serta Prof Toshio Kishimoto dan Prof Naoki Kakita juga dari fakulti yang sama.

Antara agenda yang dibincangkan adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persetujuan (MoA) untuk penawaran "matching grant", ijazah berkembar untuk program siswazah dan pascasiswazah, program mobiliti pelajar, penghasilan kajian kes dan penerbitan antara UUM dan University of Toyama.

Menurut Naib Canselor, UUM berminat untuk mengadakan program ijazah berkembar dengan universiti di luar negara kerana ia memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak dan ia selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan kerjasama sedemikian.

Katanya bidang-bidang yang menjadi kekuatan di Jepun seperti digital economy, gamification, industri kreatif dan hiburan menjadi pilihan untuk UUM laksanakan program ijazah berkembar manakala UUM boleh menawarkan ijazah bagi bidang-bidang pengurusan dan perniagaan seperti program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian) [BPLB(Hons)] selain kursus-kursus bahasa Inggeris untuk pelajar University of Toyama.

"Pelajar-pelajar UUM yang berminat untuk mengikuti ijazah berkembar ini akan diberikan kelas intensif bahasa Jepun selama dua tahun sebelum meneruskan pengajian di University of Toyama. 

"Program ini akan menjadi nilai tambah kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di UUM. Usaha juga sedang dirangka untukÔÇÄ penawaran program berkembar peringkat Sarjana dan PhD," ujar beliau.

Tags: terkini