CEO MBSB Kupas Isu Berkaitan Dunia Kewangan Islam Dalam CEO Talk

on . Posted in Komuniti

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

CEO MBSB Kupas Isu Berkaitan Dunia Kewangan Islam Dalam CEO Talk

SINTOK - Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kewangan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Dato' Ahmad Zaini Othman yang juga Profesor Adjung Kewangan telah berkongsi pengalaman beliau dengan pelajar UUM dalam program CEO Talk di Pusat Konvensyen, baru-baru ini.

Dalam program tersebut, beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Overview of Islamic Finance Industry: Understanding The Current Business Models and The Challenges’ yang menekankan keperluan Industri Kewangan Islam untuk melihat kembali struktur yang digunakan demi untuk memastikan setiap servis dan produk yang berteraskan Islam mematuhi syariah yang ditetapkan.

 

CEO Talk anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) itu bertujuan untuk menyediakan satu peluang yang unik kepada pelajar universiti untuk menimba ilmu secara langsung daripada pengamal industri yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

 

Terdahulu, beliau melawat SEFB dan telah berkongsi ilmu kewangan sepanjang karier beliau dalam industri tersebut bersama staf di pusat pengajian tersebut.

 

Sesi perkongsian itu juga dilihat mampu untuk menghasilkan lebih banyak kolaborasi penyelidikan dan juga kajian kes yang dapat digunakan di dalam pengajaran.

 

Sebagai Profesor Adjung Kewangan di SEFB, Dato’ Ahmad Zaini juga bersedia untuk memberi syarahan kepada  pelajar-pelajar  tentang topik Kewangan dan Perbankan di UUMKL.

 

Selain itu, beliau bersetuju dengan langkah UUM dalam menekankan kepentingan ‘soft skills’ di dalam sesi pengajaran.

 

Menurutnya, bidang pekerjaan memerlukan seseorang yang mampu berkomunikasi dengan baik dan berfikir lebih jauh ke hadapan dan bukan hanya bersandarkan kepada pencapaian akademik yang tinggi.

 

Hadir sama Dekan SEFB, Prof Dr Yusnidah Ibrahim yang turut mengiringi Dato’ Ahamd Zaini ke Trading Room SEFB bagi meninjau kemudahan yang disediakan oleh UUM kepada pelajar dalam memastikan keberkesanan pengajaran dalam bidang pelaburan dan kewangan.

 

Tags: terkini