CIAC Tuan Rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa UA Ke-6

on . Posted in Komuniti

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: CIAC

CIAC Tuan Rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa UA Ke-6

 

SINTOK - Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa Universiti Awam (UA) kali ke-6, baru-baru ini.

 

Mesyuarat dua hari itu berlangsung di EDC Hotels & Resorts dan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Nordin Yahaya, Pengarah Kanan, UTM International dan dihadiri oleh Pengarah-Pengarah Pejabat Antarabangsa Universiti Awam Malaysia.

 

Agenda yang dibincangkan termasuk laporan ketua kumpulan fokus mengenai Hubungan Antarabangsa, Visa dan Kebajikan Pelajar, Pengambilan Pelajar, Mobiliti Pelajar, Penarafan, Perkongsian maklumat dari Bahagian Education Malaysia (BEM), Kementerian Pendidikan Tinggi serta Sasaran dan Trend Pencapaian Pelajar Antarabangsa UA.

 

Antara UA yang terlibat dalam pembentangan laporan itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia.

                     

Sempena program Discover Kedah dan Discover UUM tahun ini, delegasi mesyuarat turut dibawa melawat sekitar kampus UUM dan tempat-tempat menarik di bandaraya Alor Setar serta lawatan ke Tapak Warisan Sg. Batu, Merbok dan menaiki teksi air dari Jeti Semeling ke Tanjung Dawai.

 

USM akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kali ketujuh yang dijangka berlangsung pada Mac 2017.

Tags: terkini